Sabtu, 24 Julai 2021

Kalau guna duit sendiri, sumbangan kami ke mana? – Penyumbang

WhatsApp-Image-2021-07-23-at-16
Foto Facebook.

KUALA LUMPUR – Orang ramai yang menyumbang kepada misi kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin kendalian pendakwah bebas Ustaz Ebit Lew bertanya ke mana sumbangan mereka pergi selepas ia tidak digunakan di negara itu.

Beberapa individu di Facebook juga memohon ketelusan wang sumbangan mereka dan tidak berpuas hati dengan apa yang didedahkan Ebit semalam.

Malah seorang usahawan yang enggan dikenali juga terkilan kerana wang sumbangan yang sudah diniatkan untuk rakyat Palestin tidak disampai ke sana.

“Ustaz Ebit mungkin tak boleh cakap macam itu kot. Apa salahnya cakap duit sumbangan orang ramai sekali.

“Memang dia tidak buka tabung tapi duit tetap orang derma ke akaun dia yang sebelum ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

WhatsApp-Image-2021-07-23-at-16
Antara penyumbang misi kemanusiaan ke Palestin yang kini viral di media sosial.

Semalam pada sidang video secara langsung di media sosial, Ebit mengakui tidak pernah membuka sebarang tabung untuk mengutip sumbangan kepada penduduk di Palestin.

Menurutnya, perbelanjaan beliau untuk ke Gaza adalah dengan menggunakan duitnya sendiri.

“Orang ramai yang tidak tahu pasal Gaza ni maki dengan kata-kata kesat kerana mereka ingat saya bawa duit sumbangan rakyat Malaysia pergi ke sana.

“Saya tidak pernah terfikir langsung untuk kutip sumbangan atas nama Gaza. Saya pergi dengan duit saya sendiri dan beberapa sahabat rapat serta rakan-rakan di Facebook.

“Tujuan saya pergi ke Gaza adalah untuk membantu mereka yang memerlukan serta niat hanya untuk Allah SWT,” katanya.

Sementara itu, seorang pemilik akaun Facebook, Ibnu Zainuddin turut bertanya kepada penyelaras laman Facebook Pertubuhan Kasih Umat Malaysia (PKUM) milik Ebit kenapa terdapat banyak hantaran lepas yang semua diedit pada tarikh 18 Julai lalu dan nombor akaun CIMB PKUM dipadam daripada hantaran sebelum ini. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: