KUALA KRAI: Projek pembinaan jambatan Kuala Nal-Pasir Kelang yang merentangi Sungai Kelantan akan bermula pada Ogos depan.
Ahli
Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman memaklumkan projek yang
bakal menelan belanja kira-kira RM25 juta itu mengambil masa dua tahun
enam bulan untuk disiapkan.
Katanya, pembinaan jambatan itu melibatkan jarak sejauh 100 meter.
“Alhamdulillah, semua proses telah berjalan cuma tinggal berkenaan isu teknikal iaitu isu pengambilan tanah di Kuala Nal dan Pasir Kelang dan proses pengambilalihan serta pembayaran pampasan telah dibuat oleh kerajaan.
“Bukan itu sahaja kontraktor yang akan melaksanakan pembinaan jambatan ini juga sudah dikenal pasti,” katanya kepada pemberita di Kampung Pasir Kelang, pada Khamis.
Beliau berkata, pembinaan jambatan itu dijangka akan memberikan manfaat yang lebih besar kepada penduduk setempat dalam memudahkan urusan harian mereka.
Malah, jambatan yang bakal dibina itu turut akan menjadi laluan masuk ke Kampung Bahagia dan boleh menghubungkan sehingga ke jajahan Tanah Merah.
Abdul Latiff berkata, kegiatan ekonomi di kawasan Pasir Kelang akan menjadi lebih rancak sebaik sahaja jambatan itu disiapkan. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan