MALAYSIAKINI
Sesiapa yang terbukti mendapat suntikan vaksin Covid-19 dengan 'picagari kosong' akan diberikan suntikan baru, kata Kementerian Kesihatan.
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata KKM akan memanggil individu berkenaan untuk menerima suntikan baru vaksin Covid-19.
"Dipanggil suntik semula," katanya ringkas melalui aplikasi WhatsApp, lapor Berita Harian.
Dr Adham mengulas kejadian di pusat pemberian vaksin (PPV) yang mana individu mendakwa diberikan suntikan vaksin kosong.
Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sedang menyiasat beberapa aduan mengenai dakwaan petugas menggunakan picagari kosong ketika program vaksinasi Covid-19.
CITF berkata, kes pertama berlaku pada 17 Julai melalui vaksinasi di kem tentera Lapangan Terbang Sungai Petani yang disasarkan untuk anggota tentera dan anggota keluarga mereka.
CITF juga mengakui dua insiden lain di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) dan Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC).
Kejadian di Mitec berlaku pada 17 Julai dan kejadian di BACC juga berlaku pada 17 Julai. Pengadu dalam dua kejadian 'picagari kosong' ini telah membuat laporan polis.
CITF mengatakan polis sedang menyiasat kedua-dua kejadian tersebut dan orang ramai akan dimaklumkan mengenai sebarang kemas kini.
CITF menegaskan bahawa mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP), semua petugas yang memberi vaksin Covid-19 mesti menunjukkan jarum suntikan yang diisi kepada penerima sebelum mereka disuntik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan