Khamis, 22 Julai 2021

Bukit Aman gantung kerja sub inspektor berpesta liar di balai polis

Bernama

Pegawai polis berpangkat sub inspektor itu didapati positif ganja dan direman dua hari bagi membantu siasatan.

Seorang ketua balai polis yang ditahan selepas dipercayai berhibur di sebuah balai polis di daerah Kajang pada Selasa lepas, digantung kerja mulai hari ini.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Azri Ahmad berkata tindakan itu dilaksana selepas hasil ujian air kencing pegawai polis berpangkat sub inspektor itu, didapati positif ganja dan direman dua hari bagi membantu siasatan.

Sementara itu, baki tujuh individu terdiri daripada tiga anggota polis dan empat orang awam turut terlibat dalam serbuan itu dibebaskan dengan jaminan.

“JIPS dalam pada itu masih menjalankan siasatan lanjut berhubung salah laku dan tatatertib anggota terlibat manakala yang lain diserahkan kepada bahagian-bahagian berkaitan untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam serbuan pada 6 petang itu, selain ketua balai, turut ditahan dua anggota polis berpangkat koperal dan seorang koperal sokongan bersama empat wanita, ketika mereka sedang berhibur di dalam bilik khas di balai polis berkenaan.

Semasa serbuan, polis turut merampas antaranya beberapa botol air disyaki air ketum, botol minuman keras, pembesar suara, lampu disko, mikrofon dan televisyen.

Tiada ulasan: