Selasa, 13 Julai 2021

Bekas ADUN Batu Maung didakwa terima rasuah lebih RM11 juta

ainulillia

Hadapi 106 pertuduhan pengubahan wang haram sekitar September 2011 hingga Ogos tahun lalu

BUTTERWORTH – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Mansor Musa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 106 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai lebih RM11 juta sekitar September 2011 hingga Ogos tahun lalu.

Tertuduh berusia 58 tahun yang juga pengerusi koperasi syarikat hartanah membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Dia didakwa dengan 42 pertuduhan di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA 2001) dengan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa dengan 64 tuduhan di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA 2001).

Jika sabit kesalahan di bawah AMLATFAPUAA 2001, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda hingga lima kali hasil daripada kegiatan haram itu atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi.

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima wang dalam bentuk tunai, aset dan saham melalui syarikat yang berbeza.

Pendakwaan diketuai Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Faridz Gohim Abdullah bersama Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Muhamad Azlan Basri manakala tertuduh diwakili peguam Kek Boon Wei dan Helen Ng.

Mahkamah menetapkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin dan 28 September ini sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen.

Menurut laporan berita, tertuduh, yang merupakan Pengerusi Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Bhd dan Ketua UMNO Bayan Baru, juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Khamis ini. – Bernama

Tiada ulasan: