Jumaat, 2 Julai 2021

Bayaran pertama penyelesaian 1MDB RM1.8b diterima Putrajaya


Menteri Kewangan, Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan akan meneruskan usaha mendapatkan semula dana 1MDB yang hilang.

Putrajaya sudah menerima sebahagian bayaran penyelesaian berkaitan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bernilai RM1.8 bilion daripada AMMB Holdings Bhd.

Jumlah tersebut sebahagian daripada penyelesaian keseluruhan bernilai RM2.83 bilion yang perlu dibayar kepada kerajaan dan Kementerian Kewangan sudah mendepositkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset.

“Baki bayaran penyelesaian sebanyak RM1.03 bilion lagi akan dilunaskan oleh AMMB Holdings pada Disember 2021 dan Julai 2022, masing-masing sebanyak RM515 juta,” kata Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan.

Sehingga kini, akaun amanah berkenaan – di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara sudah menerima sebanyak RM18.176 bilion dana yang disita dan dipulangkan berkaitan 1MDB.

Dana-dana ini telah/akan digunakan untuk melunaskan baki hutang 1MDB dan SRC International Sdn Bhd, kata Kementerian Kewangan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata setakat ini, kerajaan telah melunaskan sebanyak RM12.54 bilion hutang 1MDB dan RM3.8 bilion hutang SRC.

“Setakat 30 Jun 2021, baki hutang merangkumi prinsipal dan kupon/ keuntungan/ faedah bagi bon, sukuk dan pinjaman berjangka adalah sebanyak RM39.66 bilion (1MDB) dan RM1.85 bilion (SRC). Namun, baki semasa akaun amanah hanya cukup untuk melunaskan prinsipal dan faedah hutang 1MDB untuk tahun 2021 dan 2022 sahaja,” jelas beliau.

Setelah semua dana Akaun Amanah digunakan, kerajaan masih perlu menanggung obligasi bayaran baki hutang 1MDB memandangkan hutang tersebut adalah disokong oleh kerajaan melalui Jaminan Kerajaan dan Surat Sokongan semasa hutang-hutang ini diterbitkan.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan berkata ia akan sentiasa memastikan peruntukan yang secukupnya bagi menyelesaikan hutang 1MDB dan SRC untuk menguruskan beban kewangan kedua-dua entiti ini.

Tiada ulasan: