KUALA LUMPUR: "Will go through retrenchment, again... kuatkanlah hatiku,". (Akan berdepan pemberhentian pekerja lagi... kuatkanlah hatiku).
Menyusuri status rakan satu universiti di laman media sosial, Facebook, bukan sahaja mengejutkan bahkan sejujurnya, saya tidak dapat membayangkan akan kesukaran yang dialami Zulaikha Rahim, 34, dalam memikul ujian yang begitu hebat ini.
Kehidupannya yang sebelum ini dalam kategori M40, bagaimanapun, berubah sekelip mata apabila diberhentikan kerja pada hari kedua pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada 2 Jun lalu atas alasan syarikat terpaksa mengurangkan pekerja dan kos operasi untuk terus bertahan.
Dunia bagi Zulaikha semakin 'kelam', harapannya juga musnah, apatah lagi, ini adalah kali kedua ibu kepada seorang anak ini kembali bangkit selepas tersungkur pada tahun lalu selepas ditipu dengan sebuah syarikat yang tidak membayar gajinya selama dua bulan.
Semuanya, berlaku ketika pandemik COVID-19 dan keadaan menjadi semakin 'tenat' apabila suaminya juga diberhentikan kerja lebih awal daripadanya, menyebabkan pasangan ini bertambah runsing memikirkan wang perbelanjaan harian, ansuran hutang kereta, sewa rumah, keperluan anak dan sebagainya.
"Rasa sedih, tertekan sehingga pernah terfikir mengapalah nasib kami begini. Tetapi, apabila melihat wajah anak (berusia 10 tahun), kami berdua tidak mahu putus asa dan sentiasa cuba cari jalan untuk keluar daripada kemelut ini.
"Apa-apa sahaja kerja kami pohon, buat dan sekarang ini, saya ada buat 'freelance' kenyataan media, terjemahan dan suami pula baharu dapat jadi sukarelawan di PPV (pusat pemberian vaksin). Ada dapatlah elaun harian. Alhamdulillah sangat," katanya kepada Bernama.
Hakikatnya, ramai lagi yang mengalami nasib seperti Zulaikha, yang terkesan dan tertekan akibat pandemik sehingga mengubah hampir 360 darjah corak kehidupan terutama akibat kehilangan pekerjaan dan pendapatan, yakni impak paling besar ketika PKP.
Kalau dilihat pada statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang dilaporkan media, hampir 100,000 orang hilang pekerjaan pada tahun lalu (2020) dan itu tidak termasuk lagi dengan jumlah tahun ini serta golongan peniaga yang sememangnya begitu terkesan dengan situasi berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed sebelum ini mendedahkan kadar kemiskinan negara meningkat daripada 5.6 peratus pada tahun 2019 kepada 8.4 peratus pada tahun 2020.
Selain menurut Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (AEC), lebih daripada 600,000 isi rumah golongan berpendapatan pertengahan (M40) tergelincir ke dalam kategori golongan berpendapatan rendah B40.
Pastinya, ini memberi tamparan sangat hebat kepada tahap psikologi seseorang individu dan ini terbukti apabila statistik panggilan bantuan yang diterima agensi kerajaan sejak 25 Mac 2020 sehingga 20 Mei 2021, mendapati 85.5 peratus daripada 145,173 panggilan adalah membabitkan isu kesihatan mental yang memerlukan sokongan emosi dan kaunseling.
Boleh dikatakan hampir saban hari sejak kebelakangan ini, ada sahaja kes berkaitan dengannya dipaparkan media seperti baru-baru ini, suami mengurung isteri dan anak yang dikatakan tertekan kerana hilang pekerjaan, kes penderaan meningkat dan paling menyedihkan apabila ada yang bunuh diri.
Dalam polemik ini, tidak dinafikan bahawa tahun 2020 dan 2021 adalah tahun yang begitu mencabar daripada sudut kemampanan kesihatan mental dan emosi masyarakat apabila semakin ramai yang susah dan tertekan, kata Pakar Psikiatri Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kelantan, Dr Mohd Azhar Mohd Yasin.
"Berdasarkan kebanyakan kajian tempatan sebelum tercetusnya COVID-19, menunjukkan 20 peratus masyarakat negara ini menunjukkan mereka mengalami gejala tekanan. Bagaimanapun, kadar ini meningkat hampir dua kali ganda sejak tahun lalu yang mana peratusannya kini adalah 38 peratus.
"Ini sekali gus, menunjukkan trend kesihatan mental kalangan masyarakat Malaysia adalah di tahap membimbangkan. Tekanan ini tidak boleh dipandang remeh kerana jika tidak dikawal ia boleh membawa kepada kemurungan, malah, berisiko bunuh diri sekiranya tidak dirawat awal," katanya.
Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM), mendapati dalam tempoh Januari sehingga Disember 2020, sejumlah 1,080 kes cubaan bunuh diri dilaporkan menerima rawatan di hospital KKM dan ini tidak termasuk lagi dengan statistik daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Kalau dirujuk kepada panggilan yang diterima JBPM, trend cubaan bunuh diri dalam kalangan rakyat Malaysia adalah membimbangkan berdasarkan statistik daripada data perbandingan enam tahun sebelum ini, kata Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad.
Ini kerana, kes cubaan bunuh diri berdasarkan panggilan yang diterima jabatan menunjukkan peningkatan pada tahun 2020 iaitu sebanyak 253 kes berbanding tahun-tahun sebelumnya iaitu tahun 2019 (183 kes), 2018 (170 kes), 2017 (151 kes), 2016 (146 kes) dan 2015 (141 kes).
Manakala, negeri paling tinggi diterima JBPM untuk kes cubaan bunuh diri berdasarkan statistik tahun 2015 sehingga 2020 adalah Selangor sebanyak 265 kes, diikuti Kuala Lumpur (169 kes), Pulau Pinang (163 kes), Johor Bahru (136 kes) dan negeri paling rendah kes adalah Wilayah Persekutuan Labuan yang hanya mencatatkan dua kes sahaja.
"Kami sudah berbincang di peringkat pengurusan tertinggi dan kes cubaan bunuh diri adalah antara yang diberi penekanan dalam beberapa siri mesyuarat sejak kebelakangan ini. Maksudnya, dalam pengurusan kes ini, antara yang ditekankan adalah perlu respons segera sebaik mendapat panggilan selain perlu melihat kembali kelengkapan peralatan menyelamat.
"Selain itu, kita juga melihat kepada usaha menggiatkan lagi latihan dan kemahiran asas kepada semua pegawai jabatan mengenai teknik pengurusan, kaedah psikologi dalam usaha menyelamat mereka yang cuba bunuh diri khususnya di negeri yang dikenal pasti berpotensi berlakunya kes," katanya.
Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula merekodkan sebanyak 468 kes bunuh diri bermula Januari sehingga Mei tahun ini di seluruh negara dan 609 kes serta 631 kes masing-masing pada tahun 2019 dan 2020.
Kes bunuh diri paling tinggi mengikut jantina yang direkodkan PDRM adalah wanita iaitu sebanyak 1,427 kes berbanding lelaki, 281 kes bagi tempoh 2019 sehingga Mei 2021.
Kebanyakan mangsa berusia 15 sehingga 18 tahun dengan jumlah 872 orang manakala mangsa yang berumur 19 sehingga 40 tahun pula adalah seramai 668 orang.
Melihat kepada kesemua data ini, sekali gus jelas menunjukkan bahawa tahap kesihatan mental masyarakat semakin 'tenat' dan usaha bersepadu perlu dilakukan dan ditangani segera mungkin.
Akan tetapi, apakah usaha yang dilakukan kerajaan pada ketika ini masih belum mencukupi?
Buat masa ini, kerajaan melalui pelbagai kementerian dan agensi bekerjasama dalam menangani polemik ini antaranya dengan mewujudkan talian bantuan masing-masing seperti MyCareCovid-19 yang dikendalikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mahupun Talian Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Manakala, KKM menerusi Talian Bantuan Sokongan Psikososial yang diwujudkan secara Kerjasama KKM-Mercy Malaysia selain KKM telah mengaktifkan pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) di peringkat negeri serta daerah untuk memberi sokongan emosi kepada individu terkesan.
Mengulas mengenainya, Pakar Psikiatri dan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Rozanizam Zakaria berkata usaha berterusan telah diambil untuk meningkatkan akses bantuan, namun, ia perlu dipergiatkan lagi memandangkan masih ramai tidak tahu atau mungkin masih ada tidak yakin dengan bantuan yang boleh diberikan.
"Pencegahan bunuh diri adalah usaha yang mencabar dan mesti dilakukan secara kolektif, daripada peringkat kerajaan sehinggalah individu, semua mainkan peranan. Akses terhadap perkhidmatan krisis kesihatan mental perlu dipertingkatkan pada semua peringkat, bukan sekadar di bandar besar atau segmen masyarakat tertentu sahaja.
"Tingkatkan kualiti dan akses perkhidmatan kesihatan mental daripada aspek sumber manusia, fasiliti dan kempen kesedaran. Media juga berperanan untuk tidak mensensasikan kejadian bunuh diri dengan melaporkan ia mengikut etika yang disyorkan," katanya yang merupakan ahli jawatankuasa tetap teknikal program pencegahan bunuh diri KKM. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan