Kelangsungan bekalan makanan tidak terjejas
PUTRAJAYA – Aktiviti penanaman padi di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dibenarkan bagi mengelak masalah kekurangan bekalan beras dalam negara.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun petani yang mengusahakan sawah padi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan untuk mengelak jangkitan COVID-19.
“Dengan kebenaran ini, kelangsungan rantaian bekalan makanan terutamanya padi tidak terjejas. Kawasan penanaman padi yang terlibat PKPD seperti Ijok di Kuala Selangor boleh beroperasi seperti biasa,” katanya.
Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di sini hari ini.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKPD di beberapa mukim dan lokaliti di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selama 14 hari bermula hari ini hingga 16 Julai ekoran trend jangkitan COVID-19 yang tinggi di negeri dan wilayah persekutuan itu.
Turut diumumkan adalah kebenaran operasi bagi firma guaman untuk memudahkan urusan dokumentasi memandangkan mahkamah akan mula dibuka mulai Isnin ini.
“Ini kerana banyak urusan dokumentasi melibatkan jabatan kerajaan termasuk pejabat tanah, institusi perbankan dan prosiding mahkamah serta lain-lain perlu dilaksanakan,” katanya.
Ismail Sabri berkata, SOP terperinci akan diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam masa terdekat.
Mengenai rungutan orang ramai berhubung penutupan masjid ketika ini, Ismail Sabri berkata SOP pembukaan masjid ditentukan oleh kerajaan negeri dan bukannya Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“SOP masjid meliputi kebenaran jemaah serta aktiviti tidak dikawal oleh MKN di peringkat persekutuan kerana aktiviti berkaitan agama adalah di bawah kerajaan negeri,” katanya. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan