Selasa, 13 Julai 2021

50 pesakit Covid-19 maut wad hospital terbakar


50 maut dalam kebakaran di Hospital al-Hussain di selatan Iraq awal pagi tadi. - Gambar AFP

Sekurang-kurangnya 50 terbunuh dan puluhan lagi cedera setelah wad pengasingan Covid-19 di sebuah hospital di bandar Nasiriyah, di selatan Iraq, terbakar awal pagi ini.

Angka korban dijangka meningkat ketika pasukan pencari dan menyelamat dijalankan di hospital Covid-19 al-Hussain. Enam belas mangsa yang cedera dibawa keluar dari wad berkenaan.

“Kebanyakan mangsa meninggal akibat terbakar dan gerakan mencari masih diteruskan, kata jurucakap pihak berkuasa kesihatan tempatan, Haydar al-Zanili, sambil menegaskan kemungkinan masih ada mangsa yang terperangkap di dalam bangunan itu.

Siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan tangki oksigen di dalam wad pengasingan Covid-19 itu meletup dan menyebabkan kebakaran, kata anggota polis di tempat kejadian.

“Api yang marak dengan cepat menyebabkan ramai pesakit Covid-19 terperangkap, manakala pasukan penyelamat pula sukar untuk mendekati mereka,” kata pekerja kesihatan.

Awal pagi Isnin, kebakaran kecil dilaporkan berlaku di Kementerian Kesihatan Iraq di Baghdad, tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Kebakaran di Hospital al-Hussain itu adalah yang kedua membabitkan kemalangan jiwa tahun ini.

April lalu, kebakaran turut berlaku di sebuah hospital Covid-19 di Baghdad menyebabkan 82 terbunuh dan 110 lagi cedera, dicetuskan oleh letupan tangki oksigen yang tidak disimpan dengan baik. – Agensi

Tiada ulasan: