Sabtu, 3 Julai 2021

5 tan Musang King ke Singapura setiap sehari

RAUB: Permintaan tinggi terhadap durian Musang King keluaran daerah ini memberi pendapatan lumayan kepada pekebun serta pemborong apabila lebih lima tan buah berkenaan dihantar ke Singapura setiap hari.

Harga lebih tinggi dan memuaskan turut menarik minat individu terbabit untuk lebih menumpukan pasaran raja buah itu terus ke negara jiran yang begitu menggemari produk berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

Pemborong durian, Dong Chee Hong, 35, berkata setiap hari dia menghantar durian Musang King ke Singapura antara satu tan hingga lima tan, jumlahnya akan bertambah apabila pengeluaran buah berada di kemuncak.

Menurutnya, durian Musang King, D24, Tekka dan IOI setiap tahun mendapat permintaan begitu tinggi daripada penduduk negara jiran itu. Faktor rasa lebih sedap selain warna isi kekuningan menjadi tarikan utama raja buah itu.

Katanya, buah gred A dan B sahaja dihantar ke negara jiran itu, berikutan pengemar durian di sana sentiasa menitik beratkan pada kualiti buah yang akan mereka makan.

"Durian Musang King, D24, Tekka dan IOI keluaran daerah ini begitu terkenal di Singapura selain China, Hong Kong dan Taiwan. Setiap tahun permintaan begitu menggalakkan hingga tidak mencukupi.

"Menghantar durian ke Singapura lebih mudah, buah dari ladang dihantar ke pusat pengumpulan. Selepas digred, buah dimasukkan ke dalam bakul kemudian kerja penghantaran dilakukan pada setiap pagi," katanya, di sini, semalam.

Dia yang mempunyai pusat pengumpulan durian di Sungai Ruan, di sini berkata pada musim kali ini bekalan durian Musang King tidak mencukupi. Pengeluaran buah oleh lebih 100 pekebun masih dianggap rendah dan tidak dapat memenuhi permintaan.

Chee Hong berkata, tahun lalu dia menghantar lebih 100 tan durian Musang King, D24, Tekka dan IOI ke Singapura. Di daerah ini terdapat beberapa pemborong yang aktif menjalankan operasi jualan durian ke luar negara sebanyak dua kali setahun.

Dia yang turut mempunyai kebun durian seluas lebih 4 hektar berkata, apabila kemuncak pengeluaran durian Musang King, D24, Tekka, IOI berlaku dia turut menghantar raja buat itu ke China yang perlu melalui proses beku dan disimpan dalam peti sejuk khas.

"Saya yakin industri durian klon akan terus berkembang pada masa akan datang terutama dengan permintaan menggalakkan dari dalam dan luar negara, justeru diharapkan lebih ramai lagi yang mengusahakan kebun durian Musang King, D24, Tekka dan IOI," katanya.

Tinjauan di Sungai Ruan yang terkenal dengan pengeluaran durian di negeri ini mendapati aktiviti pengumpulan raja buah itu begitu rancak, terdapat lebih 15 pusat pengumpulan yang begitu aktif.

Tiada ulasan: