Isnin, 19 Julai 2021

22 warga polis jadi korban Covid-19

 Oleh MASZUREEN HADZMAN

POLIS melakukan sekatan jalan raya di Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI

PETALING JAYA: Peningkatan kes positif Covid-19 sejak kebelaka­ngan ini tidak mustahil menyebabkan ramai warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya anggota yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) lebih berisiko dijangkiti wabak itu.

Sejak pandemik melanda hampir dua tahun dengan bebanan kerja mengadakan SJR, seramai 22 warga PDRM meninggal dunia akibat wabak itu.

Bagaimanapun, angka jangkitan dalam kalangan warga PDRM terkawal sekali gus tidak membantutkan keupayaan dan kekuatan pasukan itu dalam penugasan menjaga keselamatan serta keamanan negara.

Mengakui keadaan itu, Pe­ngarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass mendedahkan kepada Utusan Malaysia, seramai 4,977 warga PDRM direkodkan positif Covid-19 sejak 18 Mac 2020 Hingga 23 Jun lalu.

ZAINI JASS

Menurut beliau, daripada jumlah itu, seramai 2,409 membabitkan Pegawai Rendah Polis (PRP) diikuti ahli keluarga (1,571 individu), Pegawai Kanan Polis (759 individu) dan Pegawai Awam (238 individu).

“Daripada jumlah keseluruhan tersebut, seramai 4,813 warga PDRM telah sembuh sepenuhnya manakala 142 masih menerima rawatan.

“Bagaimanapun, sebanyak 22 kematian direkodkan melibatkan 15 ahli keluarga warga PDRM diikuti Pegawai Rendah Polis (6 orang) dan Pegawai Kanan Polis (seorang),” katanya di sini semalam.

Jelas beliau, dalam tempoh sama, seramai 28,471 telah selesai menjalani kuarantin manakala 2,464 lagi masih menjalani kuarantin.

Menyedari risiko yang bakal dihadapi, Zaini berkata, beberapa garis panduan dikeluarkan PDRM bagi mengekang penularan Co­vid-19 membabitkan warganya.

Jelas beliau, antara garis panduan tersebut termasuk Garis Panduan Pelaksanaan Tugas berkaitan Covid-19 Barisan Hadapan (Frontliner) PDRM, Garis Panduan Pelaksanaan Tugas Pasca Covid-19 PDRM,
Garis Panduan Pengendalian Tahanan Semasa Penularan Covid-19 dan Garis Panduan Pengendalian Tahanan Pasca Covid-19.

“Sehingga 22 Jun lalu, seramai 112,527 yang terdiri daripada 12,272 Pegawai Kanan Polis, Pegawai Rendah Polis (92,653) dan Pegawai Awam (6,192) telah diberikan vaksin,” jelasnya.

Dalam pada itu, bagi menjaga kebajikan warga PDRM semasa wabak Covid-19, Zaini membe­ritahu, beberapa tindakan telah diambil cawangan Kebajikan PDRM.

Tiada ulasan: