KUALA LUMPUR: Sejumlah 213 kompaun dikeluarkan terhadap kilang dan premis perniagaan, kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara dalam Operasi Patuh (Op Patuh) di seluruh negara.
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, lebih 19,000 kilang dan premis perniagaan diperiksa dalam operasi bersepadu itu, yang melibatkan 26,504 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa pematuhan SOP, yang diketuai polis.
“Dalam pada itu, pemeriksaan pasukan penguat kuasa di lapangan mendapati, banyak premis yang memperoleh kebenaran untuk beroperasi, tetapi tidak beroperasi semasa pemeriksaan Op Patuh semalam,” katanya pada sidang media khas Op Patuh di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini.
Hamzah berkata, penguat kuasa mengenal pasti premis-premis itu, dan akan menjalankan siasatan lanjut secara berkala selepas ini terhadap premis yang mencurigakan.
“Ini kerana terdapat kilang dan premis yang tutup pada hari operasi dijalankan dan berkemungkinan dibuka pada hari biasa,” katanya sambil memberitahu sembilan kilang diarah tutup kerana melanggar SOP.
Beliau berkata, Op Patuh semalam mendapati ada beberapa kilang yang beroperasi dengan mematuhi SOP serta mengamalkan ‘best practices’, bagi mengekang penularan Covid-19 di tempat kerja.
Hamzah berkata, KDN akan terus menyelaras Op Patuh secara besar-besaran dan serentak, dalam tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara bagi mengekang penularan Covid-19 dalam negara, terutama dalam kalangan pekerja di sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan