Keperluan peralatan semakin mendesak di hospital utama KKM
BANGI – Yayasan Ikhlas – sebuah pertubuhan peduli dan prihatin – telah menyumbangkan kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan peralatan perubatan yang bernilai RM 604,500.00 kepada beberapa hospital dan pusat rawatan di Selangor dan Negeri Sembilan.
Antara hospital yang menerima sumbangan dalam tempoh tiga bulan lalu adalah Hospital Tuanku Jaafar, Seremban; Hospital Serdang; Hospital Sungai Buloh serta Hospital Shah Alam.
Turut termasuk Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang yang menerima sumbangan bernilai RM 250,000.
Pengerusi Pemegang Amanah Yayasan Ikhlas, Prof Dr Zainur Rashid berkata, keperluan kepada peralatan dan kelengkapan itu adalah sangat tinggi dan keadaannya semakin mendesak terutamanya kepada hospital-hospital utama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Situasi pandemik yang begitu mencabar belum kelihatan semakin reda. Keadaan di hospital-hospital KKM terutamanya adalah sangat getir. Namun, setiap kita mesti mengambil posisi dan memainkan peranan masing-masing.
“Yayasan Ikhlas mengorak langkah mengambil inisiatif untuk bersama membantu meringankan bebanan yang dihadapi oleh barisan depan terutamanya dengan menyumbang kelengkapan yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak korporat dan orang ramai yang telah memberikan kepercayaan kepada Yayasan Ikhlas untuk mengendalikan dana umum dan disumbangkan kepada pihak yang memerlukan terutamanya kepada hospital KKM.
Prof Zainur turut memaklumkan bahawa Yayasan Ikhlas meletakkan sasaran kutipan sebanyak RM1.5 juta untuk siri sumbangan bagi hospital yang telah disenaraikan bagi tiga bulan yang berikutnya.
“Kepada badan korporat yang ingin menyumbang kepada projek ‘Bantuan Petugas Barisan Hadapan’, boleh terus menghubungi Yayasan Ikhlas (03-89265954 atau 012-979 0211) atau sumbangan terus ke akaun Yayasan Ikhlas (Maybank 5628 3463 6228 – Ref: Barisan Hadapan),” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan