MELAKA: Hari Bapa selalunya disambut untuk meraikan tokoh bapa dalam kehidupan anak-anak, tetapi ini tidak berlaku dalam keluarga Amisah Mohd Isa.
Ia bukan sahaja menjadi peringatan bahawa suaminya sudah tiada lagi, tetapi wanita yang pekak dan bisu itu kini perlu memainkan peranan sebagai ibu dan bapa kepada lima anaknya.
Hujung minggu lalu adalah Hari Bapa pertama yang diharungi keluarganya tanpa kehadiran arwah suaminya, seorang penghantar makanan berusia 40 tahun yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya tahun lalu.
Amisah, 37, dari Kampung Bachang, sedang mengandung anak kelima mereka ketika itu.
Beliau terus menghitung hari selepas ditinggalkan bersendirian untuk menjaga anak-anaknya, semua bawah usia 13 tahun.
“Suami saya meninggalkan kami pada 29 Sept, kini hampir sembilan bulan. Jadi, saya perlu terus mencari sumber pendapatan untuk membesarkan anak-anak saya bersendirian,” katanya.
Pada 2018, Amisah dan suaminya membuka gerai burger dan roti john bagi menambah pendapatan mereka. Tetapi, selepas pemergian suaminya, beliau mengambil masa enam bulan untuk berkabung dan memberi perhatian kepada anak bongsunya.
Sepanjang masa itu, beliau menerima bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Kebajikan Great Heart, yang membekalkan barang keperluan kepadanya selama enam bulan.
Amisah membuat keputusan untuk bangkit dan berniaga semula pada Mac lalu, dengan Great Heart menyumbang RM300 setiap bulan untuk membantu membeli bahan bagi perniagaannya.
“Kadangkala saya menerima bantuan makanan seperti beras, tetapi bukan selalu. Itu sebabnya saya perlu membuka gerai saya untuk mencari wang.
“Tidak banyak (yang dapat), tetapi cukup untuk membeli barang keperluan rumah kami. Semua wang yang saya perolehi digunakan untuk anak-anak saya,” katanya sambil menambah, beliau kini menguruskan gerai itu sendiri, dengan anak-anaknya kadangkala membantu.
Malangnya, keadaan tidak menjadi lebih baik bagi Amisah kerana jumlah pelanggannya tidak menentu akibat wabak, dan beliau perlu menyelaras waktu berniaga sejajar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Tetapi, ibu berdedikasi itu terus tabah, dengan anak-anaknya menjadi sumber kekuatan untuk terus bertahan.
“Apa sahaja cabarannya, saya perlu kekal kuat dan melakukan yang terbaik demi anak-anak saya, insya Allah.”
Gerai burger Amisah
Kampung Bakar Batu,
75460 Melaka
Waktu operasi: 2 hingga 7 petang setiap hari
Tiada ulasan:
Catat Ulasan