Selasa, 15 Jun 2021

Vaksinasi harian catat rekod tertinggi, hampir 200,000 suntikan

Bernama

Seramai 142,890 individu menerima dos pertama manakala 55,073 individu menerima dos kedua.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mencatat rekod vaksinasi harian tertinggi semalam, dengan pemberian 197,963 dos sekali gus menghampiri sasaran vaksinasi harian yang ditetapkan kerajaan iaitu 200,000 dos sehari.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba menerusi perkongsian di Twitter berkata daripada jumlah itu, seramai 142,890 individu menerima dos pertama manakala 55,073 individu menerima dos kedua.

Beliau berkata, seramai 1,413,039 individu telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 dan seramai 3,275,194 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini adalah sebanyak 4,688,233.

Lima negeri yang mencatatkan penerima kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 180,605 diikuti Sarawak (159,920); Johor (135,621); Perak (135,435) dan Kuala Lumpur (127,174).

Sementara itu, berdasarkan perkongsian laporan harian jumlah pendaftaran kumulatif vaksin, Dr Adham berkata seramai 13,811,642 pendaftaran direkodkan semalam, dengan perkembangan nasional sebanyak 59%.

Selangor menjadi negeri tertinggi yang merekodkan jumlah pendaftaran iaitu sebanyak 3,510,783 diikuti Johor (1,723,619), Sarawak (1,321,651) dan Kuala Lumpur (1,167,136).

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin sebelum ini berkata, kerajaan menyasarkan lebih 200,000 orang akan menerima suntikan vaksin Covid-19 sehari bermula Julai ini, dan kemudian ditingkatkan kepada lebih 300,000 orang sehari mulai Ogos.

Tiada ulasan: