Sabtu, 5 Jun 2021

Vaksin: TG Zainul Asri ubah pendirian, bersama kerajaan

 Oleh NOOR SARA MASHITOH

KANGAR: Berdasarkan peningkatan kes Covid-19 yang mendadak sehingga mencapai 9,020 kes baharu jangkitan pada 29 Mei lalu, Tuan Guru Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli akhirnya mengubah pendirian turut bersama dengan kerajaan dalam menangani penularan wabak itu melalui kaedah vaksinasi.

Beliau menyatakan demikian ketika sesi soal jawab sewaktu menyampaikan kuliah rutin secara atas talian, hari ini.

“Sebelum ini saya bersikap negatif dalam isu vaksin, tetapi berdasarkan situasi hari ini saya bersama kerajaan.

“Apabila direnung dan difikirkan kembali, kerajaan yang ada pada hari ini bertindak dan bertanggungjawab ke atas rakyat berdasarkan maslahat atau situasi yang berlaku kini,” katanya.

Menurutnya, apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan pasti ada sebabnya tersendiri.

“Pihak kerajaan menyampaikan cerita yang zahir saja yang di sebaliknya kita tak tahu, jadi dalam situasi ini saya menarik semula pendirian saya dengan bersama kerajaan.

“Melihat kepada orang ramai yang perlu dikuarantin, seperti orang tua dan kanak-kanak yang menunggu tanpa ada ubat, saya merasa kasihan,” ujarnya lagi.

Beliau juga merujuk kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada Disember lalu iaitu mengharuskan pengambilan vaksin.

“Berdasarkan keputusan tersebut, saya bersama dengan fatwa berkenaan kerana perkara ini telah dibincangkan oleh mereka yang mempunyai kelebihan untuk mengeluarkan fatwa.

“Berdasarkan kaedah hukum yang kerajaan keluarkan, inilah hukum syarak, jika masih ada rakyat yang tidak mahu ambil itu terpulang kepada diri masing-masing,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, setiap perkara baharu pasti ada baik dan buruknya, namun kesan tidak bersama dengan jumhur itu lebih besar.

“Ada pun kerajaan pada hari ini adalah kerajaan yang lebih baik dari kerajaan yang sebelumnya, di mana yang sebelum ini kita hari-hari susah hati.

“Kerajaan yang ada ini kerajaan yang sah melalui undang-undang negara, saya mengajak kita semua berfikir dengan waras untuk kita bersama menangani isu Covid-19 ini,” katanya.

Beliau sentiasa merenung situasi yang berlaku ketika ini, justeru pendiriannya sebelum ini perlu berubah demi kemaslahatan ummah.

“Sebenarnya ubah pendirian ini bukanlah sesuatu benda yang salah, malah itulah yang terbaik berdasarkan situasi.

“Contoh seperti fatwa Imam Syafie, sewaktu di Iraq fatwanya lain, kemudian apabila di Mesir fatwanya lain berdasarkan penduduk setempat,” katanya. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: