Jumaat, 4 Jun 2021

"Tuanku sangat tak berkenan" - Sultan Selangor dukacita tindakan tanah kubur hanya utamakan jenazah kariah, pesakit bukan Covid-19

ALIZA SHAH

 

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan dengan tindakan pihak pengurusan sesetengah tanah perkuburan yang mengenakan syarat-syarat yang tidak berlandaskan hukum bagi urusan pengebumian.

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap tindakan pihak pengurusan sesetengah tanah perkuburan yang mengenakan syarat-syarat yang tidak berlandaskan hukum bagi urusan pengebumian.

Perkata itu disampaikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad ketika dihubungi mStar pada Khamis bagi mendapatkan maklum balas mengenai dakwaan ada sesetengah tanah kubur di negeri berkenaan hanya mengutamakan ahli kariah dan pesakit bukan Covid-19.

"Tuanku sangat tidak berkenan terutama sekali dalam keadaan sekarang (penularan Covid-19), masih ada yang nak tentukan syarat ahli kariah atau mesti penyakit biasa. Ini memang tak boleh," katanya.

Menurut Shahzihan tidak ada undang-undang yang mengatakan bahawa sesuatu tanah perkuburan itu perlu diutamakan kepada ahli kariah.

"Di mana mati dan bila kita mati itu rahsia. Dan syarat (pengurusan) jenazah adalah ianya mesti disegerakan," tambahnya.

Baru-baru ini, mStar melaporkan isu kelewatan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 di Lembah Klang yang berlaku disebabkan penetapan kuota yang terhad bagi urusan pengebumian jenazah pesakit covid-19.

Sesetengah tanah perkuburan juga didakwa memilih untuk mengutamakan ahli kariahnya hingga mengakibatkan jenazah pesakit Covid-19 hanya dapat dikebumikan selepas lebih 24 jam.

Bercakap kepada mStar, Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Muhammad Rafieudin Zainal Rasid mendakwa sesetengah tanah perkuburan mengehadkan hanya 10 jenazah untuk dikebumikan setiap hari di mana tiga daripadanya melibatkan kes Covid-19.

Selain itu pihaknya juga terpaksa akur dengan prosedur operasi standard (SOP) sewaktu tempoh lockdown yang hanya membenarkan urusan pengebumian dilakukan sehingga pukul 5 petang.

Tiada ulasan: