Isnin, 21 Jun 2021

Tiga beradik menangis di pusara bapa

Tiga beradik ini tidak dapat menahan kesedihan mereka ketika menziarahi kubur
 bapa. (Gambar Tiktok)

Sebuah rakaman video yang tular di media sosial mengundang perasaan pilu apabila memaparkan beberapa kanak-kanak kecil yang menangis memanggil bapa mereka di kubur.

Video menyedihkan itu dikongsi seorang pengguna TikTok dikenali sebagai @arienafiena yang menunjukkan tiga anak buahnya yang begitu sebak di pusara bapa mereka.

Lebih menyentuh perasaan apabila mereka turut memanggil bapa mereka dengan panggilan ‘abah, abah, abah’ sambil mengalirkan air mata.

Berdasarkan video itu, salah seorangnya dilihat hanya mampu merenung batu nisan yang diletakkan di kubur bapa dan raut wajah mereka kelihatan begitu sugul sekali.

Menerusi perkongsian sebelum ini, @arienafiena sempat menceritakan mengenai pemergian arwah adiknya pada awal Jun lalu selepas ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital.

Dia menceritakan bagaimana adiknya terlantar selama 12 hari di ICU kerana mengalami pendarahan di kepala akibat penyakit darah tinggi sebelum disahkan meninggal dunia selepas itu.

Rata-rata netizen yang menonton video itu mengakui mereka tidak mampu menahan air mata kerana melihat tiga beradik terbabit kehilangan bapa ketika masih kecil lagi.

Ramai yang meninggalkan komen mendoakan kesejahteraan kanak-kanak itu dan berharap mereka terus tabah dalam menjalani kehidupan selepas ini.

“Ya Allah sedihnya. Mereka masih kecil lagi. Semoga kamu kuat dik,” tulis seorang netizen yang turut memberi semangat kepada mereka.

“Allahuakbar adik. Abang yang sudah sembilan tahun kehilangan bapa pun masih lagi terasa. Abang doakan semoga adik-adik kuat menempuh semua dugaan dan takdir serta sentiasa dilindungi,” komen seorang lagi netizen.

Tiada ulasan: