Ahad, 13 Jun 2021

Tempoh dua minggu lockdown kritikal – Dr. Noor Hisham

TEMPOH dua minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau total lockdown akan datang disifatkan sebagai amat kritikal.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, hal demikian penting bagi negara mengurangkan kes kepada angka 4,000.

Sehubungan itu, kata beliau, kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan rantaian jangkitan COVID-19 dapat diputuskan.

Walau bagaimanapun, Dr. Noor Hisham berkata, masih ada segelintir individu yang membuat pergerakan dan perhimpunan di rumah.

“Tempoh dua minggu lockdown akan datang amat kritikal untuk kita kurangkan kes kepada 4,000. Kita perlukan kerjasama semua pihak.

“Tetapi didapati masih ada yang membuat pergerakan dan perhimpunan di rumah seperti mengadakan parti, majlis dan lain-lain. Ini adalah tidak bertanggungjawab,” katanya dalam akaun Twitter miliknya malam tadi.

Baca artikel berkaitan: 5,793 kes baharu, kurang 1,056 berbanding semalam

Jumaat lalu, kerajaan membuat keputusan untuk melanjutkan lagi tempoh PKP 3.0 penuh berkuat kuasa Selasa ini sehingga 28 Jun.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keputusan tersebut dilakukan setelah mengambil kira jumlah kes harian masih melebihi 5,000 sehari dengan purata kes baharu sehingga Khamis lalu ialah 6,871.

Walau bagaimanapun, senarai positif dan negatif serta prosedur operasi standard (SOP) bagi setiap aktiviti perkilangan, perniagaan dan industri masih kekal seperti mana diumumkan sebelum ini.

Malaysia mencatatkan 5,793 kes baharu positif COVID-19 semalam, penurunan sebanyak 1,056 kes berbanding kelmarin.

Sementara itu, dalam ciapan berasingan, Dr. Noor Hisham turut mengingatkan kepada setiap individu supaya kekal berada di rumah dengan mengamalkan sekatan pergerakan kendiri.

Kata beliau, katil unit rawatan rapi (ICU) bagi COVID-19 di fasiliti kesihatan semakin berkurangan sekiranya kes meningkat.

“Sila duduk di rumah kerana jika anda dan keluarga dijangkiti COVID-19, kita tidak ada katil ICU yang mencukupi.

“Kalau terpaksa keluar rumah kerana urusan penting, patuhilah segala SOP, elakkan 3S dan amalkan 3W. Bantulah kita untuk membantu anda sekeluarga,” jelas beliau.

Tiada ulasan: