Selasa, 1 Jun 2021

Taring Netanyahu mula hilang

Oleh Adlinahani Binti Khalil
PENDUDUK Israel mengadakan protes menolak kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu di Baitulmuqaddis. - AFP

BAITULMUQADDIS: Usaha untuk ‘menyingkir’ Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu daripada terus berkuasa dalam kerajaan semakin kukuh apabila pemimpin nasionalis pula bersetuju membentuk kerajaan pakatan.

Perkara itu diumumkan oleh pemimpin Parti Yemina, Naftali Bennet dan sebelum itu, ahli-ahli Parlimen yang menentang Netanyahu giat mengadakan rundingan menjelang tarikh akhir pada Rabu ini berhubung pembentukan kerajaan pakatan berkenaan.

Netanyahu, 71, yang sudah memegang jawatan perdana menteri selama 12 tahun berdepan dengan beberapa pendakwaan termasuk penipuan, rasuah dan pecah amanah yang sehingga kini dinafikan beliau, selain terus berkuasa biarpun pergolakan politik Israel makin parah.

Selepas pilihan raya pada Mac lalu, Parti Likud pimpinan Netanyahu memperoleh kerusi terbanyak, namun gagal membentuk kerajaan.

Pemimpin pembangkang, Yair Lapid kini mempunyai masa sehingga Rabu ini untuk membentuk kerajaan pakatan melibatkan sekurang-kurangnya 61 daripada 120 kerusi dalam Knesset (Parlimen Israel).

Lapid, 57, bekerja keras menjalin hubungan dengan pelbagai pihak dengan media Israel menyifatkannya sebagai ‘blok perubahan’.

Pemimpin itu turut menawarkan perkongsian kuasa dalam kerajaan pakatan terbabit. – AFP

Tiada ulasan: