ORANG ramai dan sektor swasta boleh menyumbang ke dalam Akaun Amanah Bencana yang ditubuhkan untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana termasuk penularan Covid-19.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, sumbangan boleh dibuat ke dalam
Akaun Amanah Bencana Maybank Islamic Berhad No. Akaun : 5660 1065 0930.
‘’Selaras dengan Akta Cukai Pendapatan 1967, semua sumbangan kepada Akaun Amanah Bencana oleh individu mahupun syarikat korporat layak mendapat potongan cukai, dengan syarat sumbangan disokong oleh resit rasmi Kerajaan (Kew. 38), ataupun dokumen pengesahan/resit transaksi bagi sumbangan yang dikreditkan melalui saluran-saluran sistem perbankan rasmi,’’ kata kenyataan itu.
Kementerian tersebut juga menjelaskan, Akaun Amanah Bencana ditadbir oleh Jawatankuasa Akaun Amanah yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan dianggotai oleh wakil- wakil dari Kementerian Kewangan, Jabatan Akauntan Negara, Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
‘’Pengoperasian akaun ini juga tertakluk kepada undang-undang dan garis panduan rasmi, termasuk pengauditan berkala, yang ditetapkan bagi akaun- akaun amanah kerajaan,’’ katanya.
Sebagai tanda manifestasi solidariti bagi membantu kerajaan dengan mengambil kira situasi semasa, Kementerian Kewangan berkata, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta Badan Berkanun Persekutuan juga digalakkan untuk mempertimbangkan pemotongan gaji dan ganjaran kakitangan secara sukarela untuk disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana ini.
Pada 31 Mei lalu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan gaji barisan Menteri dan Timbalan Menteri yang tidak diambil selama 3 bulan mulai bulan ini akan disumbangkan ke dalam akaun tersebut bagi membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19.
Pada Selasa lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali
mengumumkan potongan sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) ataupun
Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) penjawat awam selama 3 bulan mulai
bukan juga akan disumbangkan ke dalam akaun yang sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan