Jumaat, 4 Jun 2021

Sembilan ditahan terbabit sindiket `Calling Centre'

ALOR SETAR: Polis menahan sembilan individu termasuk seorang lelaki warganegara China yang disyaki terbabit dengan sindiket `Calling Centre' dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Gunung Tahan, Jalan Kuala Kedah, di sini, Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari, berkata dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah pada jam 3 petang itu, semua yang ditahan terdiri daripada lapan lelaki tempatan dan lelaki warga China yang berusia antara 21 hingga 36 tahun.

Katanya, polis turut merampas beberapa unit komputer riba pelbagai jenama, beberapa unit telefon bimbit pelbagai jenama dan beberapa unit mobile wifi yang disyaki digunakan untuk tujuan menipu.

"Siasatan awal mendapati semua tangkapan mengaku menjalankan aktiviti penipuan pelaburan mata wang asing dan krypto.

"Mereka juga dipercayai dibayar gaji kira-kira RM3,000 sebulan dan dipercayai aktif beroperasi sejak dua bulan lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Roze berkata, sindiket itu mampu mengaut keuntungan berjumlah lebih RM500,000 sehingga RM600,000 sebulan.

Katanya, modus operandi yang digunakan dalam aktiviti ini adalah setiap sindiket akan mewujudkan satu `WhatsApp Group' dalam aplikasi WhatsApp dan mempromosikan pelaburan dengan cara berinteraksi secara dua hala supaya pelanggan akan lebih yakin untuk melabur.

"Ahli sindiket ini kemudian akan memperdayakan mangsa untuk melabur di dalam satu laman web sebelum menipu mangsa.

"Sindiket ini juga menyasarkan mangsa dari negara-negara di benua Asia," katanya.

Mohd Roze berkata, hasil semakan mendapati, dua lelaki yang ditahan dikehendaki polis berkaitan kes dadah dan Akta Imigresen.

Tiada ulasan: