KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mencari jalan untuk mengawal kenaikan harga minyak masak dalam botol supaya ia tidak membebankan pengguna.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata mereka maklum mengenai harga minyak mentah meningkat, namun ketika rakyat berhadapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan sekatan pergerakan penuh, perkara itu perlu dipertimbangkan.
Katanya, perlu difahami ketika ini rakyat ada yang tertekan kerana hilang pekerjaan, kurang pendapatan maka kerajaan perlu kurangkan beban ini dengan melihat kepada harga barang keperluan.
"Saya percaya ketika PKP ini pergerakan terhad, jadi ramai ambil keputusan beli minyak masak dalam botol kerana jumlahnya lebih banyak berbanding dalam paket yang biasanya dihadkan satu pelanggan hanya dua atau tiga paket saja.
"Perlu diingat ketika PKP ini ramai yang duduk di rumah maka keperluan minyak masak itu mungkin bertambah sepatutnya dipertimbangkan penurunan harga," katanya kepada BH mengulas isu kenaikan harga minyak masak botol yang kini mencecah sekitar RM30 bagi botol lima kilogram.
Semalam, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, harga minyak masak botol di pasaran sekitar RM30 bagi lima kilogram adalah munasabah memandangkan kenaikan harga minyak sawit bertapis yang tinggi pada masa ini.
Katanya, purata harga minyak sawit mentah (MSM) antara RM4,000 hingga RM4,500 satu tan menyebabkan kenaikan harga minyak sawit bertapis lebih tinggi kepada sekitar RM5,000 satu tan.
Mohd Yusof turut mencadangkan supaya pengeluaran minyak masak paket ditingkatkan.
Katanya, untuk tidak membebankan perlu dicari jalan penyelesaian menang-menang untuk semua pihak.
Sementara itu, Pemuda Perikatan Nasional (PN) mahu harga minyak masak botol diselaraskan bagi mengurangkan beban rakyat.
Ketuanya, Khairil Nizam Khirudin berkata hasil tinjuan mendapati harga minyak masak memang berlaku peningkatan.
"Minggu lalu, harga minyak masak lima kilogram adalah sekitar RM25-RM28 dan minggu ini, harganya mencecah RM32-RM36.
"Pihak Pemuda PN mengambil maklum KPDNHEP dan Kementerian Perladangan dan Komoditi telah mengeluarkan kenyataan mengenai situasi ini," katanya
Namun, katanya Pemuda PN mencadangkan pihak KPDNHEP mengambil tindakan tegas kepada peniaga yang menaikkan harga.
Beliau berkata, kerajaan perlu menawarkan formula baru untuk subsidi minyak masak 5 kg dan ke atas dan memperkenalkan subsidi bertempoh selama tiga hingga enam bulan untuk minyak masak 5 kg.
Dalam masa yang sama dicadangkan kuota pengeluaran minyak masak bersubsidi sekilogram dari 60,000 tan sebulan sekarang.
Turut dicadangkan KPDHEP menetapkan harga minyak masak dalam pasaran serta menjalankan operasi pemeriksaan anti pencatuan secara besar-besaran.
Khairil Nizam juga memohon pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) meningkatkan operasi mencegah penyeludupan minyak masak yang menyebabkan berlakunya ketirisan bekalan tempatan.
"Kita juga meminta kerajaan menstabilkan bekalan dalam negara dengan mengimbangkan peratusan eksport dan keperluan bekalan minyak masak dalam negara," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan