Khamis, 24 Jun 2021

Selangor E-Bazar bukti perniagaan dalam talian jana keuntungan lumayan

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
AMIRUDIN Shari ketika sidang akhbar secara maya pengumuman keputusan E-Bazar Raya 2021 dan pelancaran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) TV.

SHAH ALAM: Kempen Selangor E-Bazar membuktikan peniaga yang mendigitalisasikan perniagaan mereka  mendapat pulangan yang umayan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, hasil terkini bazar dalam talian tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 163 peratus untuk jualan terus dan 139 peratus peningkatan kesan riak kepada ekonomi Selangor berbanding dengan sasaran awal yang dibuat.

“Selangor berbangga menjadi kerajaan negeri pertama yang melancarkan inisiatif baucar e-dagang dalam membantu perusahaan kecil sederhana (PKS) negeri untuk menghadapi cabaran Covid-19.

“Kita telah mengadakan empat kempen E-Bazar, iaitu E-Bazar Raya 2020, E-Bazar 11.11 Mega Sales, E-Bazar CNY 2021 dan E-Bazar Raya 2021,”katanya dalam sidang akhbar secara maya pengumuman keputusan E-Bazar Raya 2021 dan pelancaran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) TV.

Amirudin berkata, dengan pelaburan RM7 juta oleh kerajaan negeri, empat pusingan kempen tersebut  menghasilkan jualan terus berjumlah RM144.7 juta dan mewujudkan kesan riak sebanyak RM2.95 bilion untuk ekonomi negeri.

“Terdapat 294,119 penjual, termasuk 74,837 penjual baharu, yang telah mendapat manfaat dari kempen-kempen ini.

“Ini membolehkan ekonomi negeri terus bergerak sambil mewujudkan saluran penjualan alternatif agar perniagaan tempatan dapat bertahan, terutama di bawah pelbagai sekatan akibat wabak Covid-19,”katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Perdagangan Selangor Datuk Teng Chang Khim berkata, kerajaan negeri sangat berbangga kerana lebih ramai peniaga baharu telah menerokai bidang e-dagang melalui kempen terkini. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: