SHAH ALAM: Keluarga pesakit COVID-19 yang meninggal dunia, Orang Kurang Upaya (OKU) dan guru tadika di negeri ini antara yang menerima manfaat Pakej Kita Selangor 2.0 di saat negara dihimpit pandemik COVID-19 ketika ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata bantuan itu adalah antara program strategi pertama Pakej Kita Selangor 2.0 iaitu menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat.
"Kes kematian kini sudah mencecah 3,460 kematian di seluruh negara dan menginsafi musibah yang menimpa ahli keluarga yang kehilangan insan tersayang akibat COVID-19, kerajaan negeri bersetuju memberikan sumbangan khairat kematian berjumlah RM 1,000 untuk setiap pesakit COVID-19 yang meninggal dunia di Selangor.
"Bagi melaksanakan inisiatif ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM1.5 juta," katanya dalam pengumuman khas Pakej Kita Selangor 2.0 secara maya, semalam.
Menerusi strategi pertama itu juga katanya, setiap OKU di Selangor juga bakal menerima bantuan khas sebanyak RM500 secara 'one-off'.
"Kerajaan negeri memahami kesukaran yang dihadapi golongan OKU akibat pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, justeru kerajaan negeri memperuntukkan RM600,000 bagi memanfaatkan golongan OKU di Selangor," katanya.
Amirudin berkata, kerajaan negeri turut memberikan bantuan khas kepada pengusaha dan guru pendidikan awal
(TADIKA) di Selangor.
"Kerajaan negeri mengumumkan bantuan 'one off' berjumlah RM 450 kepada pengusaha tadika di seluruh Selangor serta RM150 kepada setiap guru tadika.
"Bantuan ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 1,018 pengusaha tadika dan 10,197 guru tadika di seluruh negeri dengan peruntukan RM 500,000," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan