Sabtu, 5 Jun 2021

Roseminah Ahmad meninggal dunia

Oleh MOHD FADHLI MOHD SULAIMAN

Allahyarham Roseminah Ahmad

PETALING JAYA: Bekas Pengurus Jabatan Pengarang, Utusan Melayu (M) Bhd., Roseminah Ahmad, 73, meninggal dunia pada pukul 6.45 petang tadi di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan selepas disahkan positif Covid-19.

Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan sendiri oleh anaknya, Diyana Rose Mohd. Kamalludeen, 40, kepada Utusan Malaysia petang ini.

Diyana berkata, Allahyarham meninggal dunia disebabkan komplikasi jangkitan paru-paru, kegagalan organ dalaman hati, buah pinggang, kencing manis dan berlaku pembekuan darah di jantung selepas disahkan positif Covid-19.

“Mula-mula, ayah saya masuk hospital dahulu sebelum Hari Raya Aidilfitri sebab disyaki denggi. Hospital buat ujian darah dan disahkan positif Covid-19. Selepas itu, beberapa ahli keluarga termasuk Allahyarham juga disahkan positif Covid-19.

“Ibu saya tiada sebarang gejala melainkan demam dan batuk biasa. Cuma, selepas Ahad lepas, Allahyarham dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) akibat masalah pernafasan.

“Tiga hari lepas, Allahyarham dikomakan oleh doktor sebab dia mengadu keadaan tidak selesa, namun, apabila sudah sedar, semalam, keadaan dia semakin nazak,” katanya.

Diyana berkata, Allahyarham akan dikebumikan esok di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat AU2.

Allahyarham meninggalkan suami, Mohd. Kamalludeen Mahmood, 71, yang kini stabil dan berada di wad biasa selepas positif Covid-19, tiga orang anak dan lima orang cucu. UTUSAN

Tiada ulasan: