Jumaat, 18 Jun 2021

Ratusan sukarelawan APM terus ‘berjuang’ walaupun kepenatan

Sukarelawan APM berperanan membantu orang ramai yang hadir untuk janji 
temu vaksinasi di PPV. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Keletihan fizikal dan mental tidak menjadi penghalang dan pemutus semangat buat ratusan sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Wilayah Persekutuan yang ditugaskan membantu pihak berkuasa dalam pengurusan pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lalu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Wilayah Persekutuan dan Pengarah APM Wilayah Persekutuan, Effendy Ali berkata, meskipun kepenatan, ratusan wira barisan hadapan itu tidak goyah dan tetap bersemangat meneruskan tugas yang digalas.

Katanya, peranan APM semakin jelas sepanjang krisis Covid-19 apabila 250 sukarelawannya ditugaskan di empat pusat pemberian vaksin (PPV) mega di Kuala Lumpur – Stadium Nasional Bukit Jalil, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) dan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).

Mereka turut ditempatkan di Dewan Seroja Presint 15 di Putrajaya, Universiti Malaya, Dewan Jabatan Kerja Raya serta dua lokasi di Labuan.

Tanggungjawab mereka ialah memastikan kelancaran proses vaksinasi di PPV bersama kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rela dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Mereka ditugaskan membantu orang ramai yang hadir untuk janji temu suntikan vaksin, terutama memudahkan orang kelainan upaya, warga emas dan individu,” katanya dipetik Harian Metro.

Effendy berkata, sukarelawan APM turut berperanan di bahagian pendaftaran janji temu vaksinasi, memeriksa suhu badan serta menjadi pemandu arah manakala anggota perubatan APM bersiap sedia di semua PPV.

“Saya kerap menasihati mereka agar menjaga disiplin dan tingkah laku ketika berurusan dengan orang ramai di PPV. Mereka perlu banyak bersabar kerana akan hadapi pelbagai kerenah.

“Ada yang datang janji temu dalam keadaan marah dan tertekan. Malah ada juga fobia menerima suntikan. Di sinilah peranan utama anggota APM dalam memastikan proses ini berjalan lancar.”

Selain PPV katanya, ratusan anggota tetap dan sukarelawan APM turut menyelaras 14 stesen kuarantin membabitkan hotel di sekitar ibu kota serta 35 hotel di Labuan.

Tiada ulasan: