MALAYSIAKINI
Mendidik murid dengan pembelajaran yang salah boleh mendatangkan kesan buruk di masa hadapan, kata bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Rafidah Aziz.
Dia mengingatkan kerajaan supaya bersikap bijaksana dalam memilih pendidik bagi tujuan pengambilan guru secara besar-besaran seperti yang diumumkan Menteri Pendidikan, Mohd Radzi Md Jidin baru-baru ini.
"Perkara-perkara yang salah yang diajarkan, atau disampaikan dengan cara yang tidak sesuai, boleh memberi kesan jangka panjang yang negatif terutama apabila kaum, kepercayaan dan unsur-unsur seperti itu diajarkan berdasarkan persepsi peribadi dan subjektif semata-mata.
"Pendidikan adalah profesion yang sangat penting dan harus memberi nilai tambah untuk memupuk nilai-nilai murni di kalangan generasi muda," kata Rafidah kepada Malaysiakini.
Katanya lagi, kerajaan harus mengutamakan kualiti dan bukan dengan hanya melakukan pengambilan guru secara besar-besaran.
Pada 20 Jun lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan pengambilan khas secara 'one-off' seramai 18,702 pendidik, bagi menyelesaikan isu kekurangan guru di sesetengah negei.
Radzi berkata, permohonan pengambilan khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41 itu, akan dibuka mulai 7 Julai untuk membolehkan pendidik ditempatkan secara berperingkat di sekolah masing-masing bermula Oktober depan.
“Pengambilan guru secara ‘one-off’ dan besar-besaran ini bertujuan menyelesaikan isu kekurangan guru di sesetengah negeri, selain menjamin pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar ketika pandemik Covid-19,” katanya pada sidang media secara maya mengenai pengambilan khas itu.
Rafidah berkata kerajaan tidak boleh tergesa-gesa untuk menambahkan jumlah guru dengan mengabaikan isu kualiti.
"Kita mesti melihat kualiti keseluruhan infrastruktur pendidikan kita kerana itu akan menentukan masa depan negara.
"Terutamanya dalam konteks kreativiti dan inovasi, keusahawanan dan kejayaan perniagaan, dan pegawai sektor awam dan pentadbiran yang mempunyai integriti, kejujuran, dan rasa tanggungjawab dan kertanggungjawaban yang kuat," kata Rafidah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan