Jangan biarkan jadi duri dalam daging yang makin membarah
BANGI – Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA) menyokong hasrat Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) untuk mengesyorkan tindakan keras diambil terhadap pegawai polis yang ditahan kerana menyertai aktiviti sosial di sebuah hotel mewah di ibu kota, Ahad lalu.
Sokongan itu disuarakan Naib Presiden PEMBELA, Ustaz Masridzi Sat atas dasar tidak mahu duri dalam daging semakin membarah.
“Sokong. Pulihkan segera integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM). Banyak dah rekod salah guna kuasa, rasuah dan masalah disiplin menimpa PDRM.
“Jangan biarkan ianya menjadi duri dalam daging yang makin membarah,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ustaz Masridzi yang juga Presiden Persatuan Kebajikan Darul Islah (Perkid), menyarankan pihak berkuasa mewujudkan Sekteriat Pemulihan Integriti Enforcement secara bersepadu.
Cadangan itu ditujukan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pakar dan badan organisasi yang berkaitan.
Sebelum ini dilaporkan, dua pegawai polis yang pernah ditahan berkaitan Geng Nicky sebelum ini ditahan sekali lagi kerana menyertai aktiviti sosial di sebuah hotel mewah di ibu kota, Ahad lalu.
Pegawai berpangkat Deputi Superintendan (DSP) dan Inspektor itu antara empat anggota PDRM yang ditahan dalam serbuan di dua bilik hotel berkenaan.
Dua lagi yang ditahan adalah pegawai polis berpangkat Inspektor dan seorang konstabel polis.
Berikutan itu Pengarah JIPS, Datuk Zamri Yahya berkata, cadangan tindakan keras itu termasuk dibuang kerja ke atas dua pegawai terbabit kerana berterusan ingkar dengan arahan jabatan sedangkan mereka sebagai pegawai polis perlu menunjukkan teladan yang baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan