Sabtu, 19 Jun 2021

PM bangga dengan semangat rakyat, teguh lawan Covid-19


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyertai Program Mega PKRC Berselawat yang diadakan secara maya pagi ini

Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang bersemangat dan teguh dalam melawan ‘peperangan besar’ Covid-19 yang melanda negara.

Perdana Menteri berkata walaupun diuji dengan cabaran Covid-19, sistem kesihatan negara masih kekal kukuh dan dijangka dengan fasa pertama pemulihan negara ia akan dapat membawa negara keluar daripada kemelut pandemik dan rakyat dapat kembali kepada kehidupan normal seperti biasa sebelum ini.

“Sistem kesihatan awam masih kekal berdiri dan usaha kerajaan dengan bantuan pelbagai pihak di seluruh negara kita sudah mula fasa pertama proses pemulihan negara.

“Ini adalah harapan baru yang kita akan usahakan dan saya bangga betapa cekal semangat juang saudara saudari (rakyat Malaysia),” katanya dalam Program Mega PKRC Berselawat yang diadakan secara maya pagi ini.

Menurutnya, rakyat Malaysia perlu terus teguh bersama berdepan dengan wabak ini dan bersemangat mengharungi cabaran.

Program berkenaan dianjurkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) membabitkan 89 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) seluruh negara.

Program yang dipimpin Imam Besar Masjid Putra Putrajaya, Ikmal Zaidi Hashim turut disertai jemaah menteri, ketua jabatan, petugas barisan hadapan dan pesakit yang menerima rawatan di PKRC seluruh negara.

Muhyiddin berkata, petugas barisan hadapan dan pesakit yang sedang dirawat perlu bersemangat untuk berdepan cabaran wabak ini.

Katanya, peperangan besar ini tidak mungkin berjaya tanpa pengorbanan besar dari kita semua.

“Bersedialah kita berjuang untuk membela nasib rakyat yang terkesan dan apa saja boleh yang boleh kerajaan akan lakukan untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Tiada ulasan: