KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) akan memberi bantuan kepada pesara tentera, Prebet Suria Mohamad Hassan yang tinggal di bawah jejantas baru-baru ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, JHEV ATM akan menghulurkan bantuan sara hidup sebanyak RM300 sebulan dalam masa terdekat.
Kata beliau, Suria juga bakal mendapat bantuan rumah daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan diberi tiga pilihan lokasi di sekitar Cheras, di sini.
Katanya, jabatan itu turut menawarkan bantuan lain dalam Skim Bantuan Kebajikan dan Pendidikan JHEV ATM yang layak untuk anak-anak veteran seperti Skim Bantuan Persekolahan berdasarkan syarat dan kelayakan.
“Yayasan Veteran ATM juga telah memberi bantuan secara one off kepada veteran ATM ini bagi meringankan bebanan kewangan yang dihadapinya.
“Suka saya memaklumkan bahawa dengan bantuan-bantuan yang kita berikan kepada Veteran ini menunjukan manifestasi JHEV yang tidak pernah mengabaikan kebajikan dan kesejahteraan veteran ini dalam meneruskan kehidupan.
“JHEV bukan sahaja memberi keutamaan kepada nasib veteran tetapi ahli keluarga khususnya anak-anak sentiasa mendapat pembelaan daripada JHEV,” katanya kepada pemberita selepas melawat pesara Suria dan keluarganya di Dewan Serbaguna Flat Sri Johor, Cheras di sini hari ini.
Semasa sesi lawatan oleh JHEV ATM Selangor/Wilayah Persekutuan pada 11, 13 dan 20 Jun lalu, hasil siasatan mendapat Suria hilang punca pendapatan akibat pandemik Covid-19 yang mendorongnya tinggal di ruangan bawah jejantas jalan Loke Yew 6 selama enam bulan, bermula Januari lepas.
Suria sebelum ini tinggal bersama isteri kedua dan empat anaknya di Flat Sri Sabah di sini sementara isteri pertama tinggal di flat Sri Sarawak berstatus pemilikan sendiri dan mempunyai dua anak yang telah bekerja.
Untuk rekod, pesara berkenaan adalah penerima pencen ATM dan ex gratia secara bulanan berjumlah RM 1,108.61.
Dia juga menerima bantuan daripada veteran ATM berjumlah RM1,250 secara one off iaitu Bantuan Harapan Negara (BHN) berjumlah RM 500, elaun Pingat Jasa Malaysia (PJM) (RM 500), serta bantuan khas kerajaan (BKK) RM250.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sekiranya ada lagi golongan pesara tentara yang berdepan situasi sama dengan Suria, mereka disaran menghubungi JHEV ATM atau persatuan veteran di daerah masing-masing untuk dipanjangkan ke peringkat negeri atau persekutuan.
“Kita ada 300,000 bekas anggota tentera di seluruh negara. Walaupun hanya sesetengah sahaja yang berdaftar, ada lagi 80,000 yang belum berdaftar dengan JHEV ATM jadi nak jejak mereka sukar sebab kita tiada data tentang status terkini apa yang mereka lakukan.
“Saya harap persatuan veteran juga
dapat mengenal pasti bekas-bekas anggota tentera yang mengalami
kesusahan hidup seperti Suria,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan