Rabu, 2 Jun 2021

Penjaja kecil tak perlu kelulusan CIMS MITI untuk operasi PKP 3.0

KPKT berkata, kebenaran untuk berniaga itu hanya terpakai bagi penjaja kecil.

PETALING JAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata penjaja kecil dikecualikan untuk mendapatkan kelulusan operasi daripada Intelligent Management System (CIMS), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 Jun hingga 14 Jun.

Dalam satu kenyataan, KPKT berkata penjaja kecil di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mendapat permit penjaja sama ada kekal atau sementara, tidak perlu memperoleh kelulusan sebaliknya memadai hanya menunjukkan permit penjaja yang dikeluarkan oleh PBT.

“Kebenaran untuk berniaga ini hanya terpakai untuk penjaja kecil sahaja dan bukan untuk operasi pasar tani, pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu.

“Keputusan ini adalah berkuat kuasa serta-merta dan terpakai sepanjang tempoh PKP 3.0,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini kerajaan menetapkan hanya beberapa sektor dibenarkan beroperasi dengan kelulusan melalui CIMS MITI.

Dalam pada itu, KPKT berkata sekiranya lokasi perniagaan mereka melibatkan pergerakan merentas daerah, mereka perlu mendapatkan kebenaran polis dengan mengemukakan bukti permit penjaja oleh PBT berkenaan.

KPKT berkata semua penjaja kecil yang telah diberi kebenaran beroperasi dan melakukan pergerakan rentas daerah mestilah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Tiada ulasan: