Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Nahas lima lori di KM288 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini, malam tadi menyebabkan pemandu lori tangki LPG maut di tempat kejadian. - Foto ihsan JBPM Perak
IPOH: Pemandu lori tangki gas petroleum cecair (LPG) maut dalam nahas membabitkan lima lori di KM288 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini, malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata nahas membabitkan empat lagi lori membawa pelbagai muatan.
Katanya, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dengan bantuan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) JBPM Perak dari BBP Pasir Puteh dikejarkan ke lokasi sebaik panggilan diterima jam 10.01 malam.
Beliau berkata pemandu lori tangki maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi pemandu cedera di kaki kanan.
"Bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa, dengan mangsa berjaya dikeluarkan selepas tiang rangka lori berkenaan dipotong," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pengesanan kebocoran yang dibuat pasukan HAZMAT mendapati tidak berlaku sebarang kebocoran pada lori tangki terbabit.
"Operasi diketuai Mohamad Norman berakhir jam 1.10 pagi tadi," katanya.
Sementara itu, PLUS Berhad menerusi ciapan di laman Twitter plusline1800880000 berkata, insiden menyebabkan aliran trafik terhenti berikutan laluan menghala ke utara terhalang sehingga jam 1.08 pagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan