Isnin, 14 Jun 2021

Pasar raya adakan jualan promosi minyak masak botol

KUALA TERENGGANU: Meskipun minyak masak dalam botol lima kilogram (kg) kini berdepan isu kenaikan harga, ada pasar raya di sini mengambil inisiatif mengadakan jualan promosi bagi meringankan beban pengguna.

Pengurus sebuah pasar raya terbabit, Mohammad Ridzwan Abdullah, berkata pihak pengurusan bersetuju untuk menawarkan minyak masak botol 5kg pada harga RM26.99 seunit berbanding harga asal RM28.50.

"Modal harga masak ditetapkan pengeluar ialah RM26.00 tetapi bagi membantu mengurangkan beban masyarakat yang terkesan susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, kami hanya mengambil keuntungan 99 sen bagi setiap unit minyak masak botol 5kg," katanya ketika ditemui BH.

Sementara itu Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia, pula memaklumkan hasil pemantauan mendapati tidak berlaku masalah kekurangan bekalan minyak masak botol di negeri ini.

"Punca utama tidak berlaku kekurangan bekalan minyak masak botol ialah pengguna kini beralih kepada minyak masak peket bersubsidi," katanya.

Mengulas lanjut, Saharuddin menjelaskan walaupun minyak masak botol bukan produk bawah harga kawalan, tindakan boleh diambil mengikut Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 sekiranya peniaga didapati mengambil keuntungan berlebihan.

Tiada ulasan: