Khamis, 3 Jun 2021

Orang ramai bersesak dapatkan nombor giliran di kaunter JPJ

Oleh MASZUREEN HADZMAN
ASHARI ABU SAMAH

PETALING JAYA: Gara-gara ingin mendapat nombor giliran telah menyebabkan berlaku kesesakan di pintu pagar utama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju di sini, kelmarin.

Video yang tular dalam laman sosial Facebook sejak semalam menunjukkan orang ramai berasak-asak tanpa penjarakan sosial.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, dalam video itu kelihatan orang ramai mengerumuni pintu pagar hingga tidak menghiraukan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Hasil semakan mendapati kejadian berlaku pada Isnin lalu antara 1 tengah hari hingga 2 petang berpunca daripada orang ramai berebut untuk memasuki premis JPJ bagi urusan di kaunter JPJ yang mana hanya 50 nombor giliran sahaja dibuka pada sesi sebelah petang.

“Keadaan itu diburukkan lagi dengan kehadiran orang ramai untuk menjelaskan saman tertunggak yang diberi diskaun sehingga 70 peratus oleh pihak JPJ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, kata Ashari, pada asalnya tarikh akhir diskaun adalah pada 11 Jun ini namun disebabkan PKP menyeluruh bermula semalam, orang ramai mengambil kesempatan untuk menyerbu kaunter pembayaran saman pada saat-saat akhir.

“Pihak Keselamatan JPJ Wangsa Maju menghubungi pihak polis untuk bantuan selepas keadaan tidak terkawal.

“Pasukan Pemantau IPD Wangsa Maju hadir di lokasi. Setelah melihat kehadiran pihak polis, orang ramai mula bersurai dari lokasi bagi mengelakkan mereka dikenakan kompaun,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan sentiasa mematuhi SOP supaya penularan rantaian Covid-19 dapat diputuskan.

“Tindakan tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat yang dengan sengaja melanggar SOP dan tidak menjaga penjarakan fizikal boleh menyebabkan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan masyarakat dan tindakan kompaun boleh dikenakan,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan: