Bekalan dijangka dapat tingkatkan kadar vaksinasi bawah PICK dengan pantas
BANGI – Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) hari ini meluluskan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana kepada produk vaksin COVID-19 ‘Vaccine AstraZeneca Solution for Injection’ dari pengilang kedua iaitu Siam Bioscience Co., Ltd, Thailand.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pengilang kedua itu adalah pengeluar yang akan menjadi sumber bekalan vaksin AstraZeneca untuk kegunaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negara ini.
Katanya, sebelum ini PBKD telah meluluskan pendaftaran bersyarat bagi pengilang Medimmune Pharma B.V., Netherlands pada 2 Mac 2021 yang juga pengeluar bekalan AstraZeneca ke negara-negara Eropah.
“KKM ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran secara bersyarat ini memerlukan syarikat Pemegang Pendaftaran Produk iaitu AstraZeneca Sdn Bhd mengemukakan data-data tambahan dan terkini produk vaksin tersebut dari semasa ke semasa.
“… bagi memastikan kualiti, keberkesanan dan keselamatannya sentiasa dikemaskini dan perbandingan manfaat-risiko vaksin ini kekal positif,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, bekalan vaksin AstraZeneca yang bakal diterima daripada pengilang Siam Bioscience Co., Ltd ini dijangka dapat mempertingkatkan kadar vaksinasi di bawah PICK dengan lebih pantas.
“Sebagai makluman, Kerajaan Malaysia membuat perolehan vaksin COVID-19 keluaran AstraZeneca melalui dua kaedah iaitu secara terus dengan pengeluar dan juga melalui fasiliti COVAX.
“Malaysia telah mula menerima bekalan di bawah fasiliti COVAX pada bulan April 2021,” katanya.
Beliau berkata, kementerian akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak COVID-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan PBKD.
Menurutnya, kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk dewasa Malaysia mencapai imuniti kelompok selaras dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan