Isnin, 14 Jun 2021

Kutipan derma tabung kilat untuk ‘rider’ sahih, bukan penipuan

 ainulillia

PEMBELA sudi bantu selepas dihubungi sendiri pihak PENGHANTAR

BANGI – Kutipan derma ‘Tabung Kilat Ikat Jamin Rider FoodPanda’ yang dilancarkan oleh Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) bagi membantu lima penghantar makanan yang ditahan di Sungai Way, Jumaat lalu adalah sahih dan bukannya satu penipuan seperti yang didakwa.

Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR), Zulhelmi Mansor menjelaskan, kutipan derma kilat itu bertujuan membantu penghantar makanan yang ditahan dan terkesan akibat penahanan tersebut. 

“Sememangnya apabila kami mengetahui lima orang penghantar makanan yang ditahan akan diperintahkan ke mahkamah bagi mendapat tahanan reman, terus kami mendapatkan nasihat dan menghubungi Pengerusi NGO PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya khusus untuk mendapatkan pertolongan khidmat peguam bagi tujuan ini.  

“Ketika dihubungi, PEMBELA juga sedia membantu mereka semua ini tidak terhad kepada pembelaan mereka sahaja malah lebih daripada itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan terbaharu, Zulhelmi memaklumkan bahawa kelima-lima penghantar makanan itu telah dibebaskan pada jam 4 petang hari ini dengan jaminan polis.

“Secara asasnya, mengikut nasihat peguam, sekiranya ada pendakwaan dibuat, berkemungkinan mereka akan dituduh selepas reman yang dijangka pada hari Isnin atau Selasa dan mereka perlu membayar wang ikat jamin. 

“Awal-awal lagi, mereka ini memberitahu bahawa kalau perlu ikat jamin, mereka sememangnya tidak mampu,” katanya.

Berikutan itu, Zulhelmi berkata, pihaknya menghubungi PEMBELA dan mereka sudi untuk membantu penghantar makanan tersebut.

“Kalau kita sudah tahu keputusan mahkamah, atau pun tahu apa akan berlaku hari ini, semestinya kita pun tak akan buat hebahan kutipan tabung kilat ini. 

“Justeru, sahabat rider sekalian juga, PEMBELA bukannya ada kepentingan diri dan niat mereka cuma sekadar membantu sahaja. 

“Malah, dana sumbangan yang terkumpul ini akan diserahkan kepada rider dan pihak persatuan secepat mungkin apabila saja mereka dibebaskan. Perkara ini juga dimaklumkan mereka kepada kita sebaik sahaja kita memberitahu mereka situasi daripada semasa ke semasa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar tuduhan yang dilemparkan kepada PEMBELA dapat ditarik semula. 

“Sememangnya tujuan murni PEMBELA melalui kutipan dana sumbangan ini hanya demi kebajikan penghantar yang terlibat,” katanya.

Sebelum ini, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook berkaitan kutipan derma bagi membiayai wang jaminan lima penghantar makanan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, antara lain, penganjur kutipan wang menggunakan nama ‘Tabung Kilat Ikat Jamin Rider Foodpanda’ itu mendakwa lima penghantar makanan yang ditahan perlu membayar wang ikat jamin kira-kira RM3,000 hingga RM4,000 seorang.

Sementara itu, Aminuddin memaklumkan bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan dakwaan tersebut.

Beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai apa-apa perkara yang ingin disembunyikan malah akan bersikap telus dengan semua pihak termasuk pihak polis yang telah mengeluarkan kenyataan akhbar untuk menjalankan siasatan.

Tiada ulasan: