Khamis, 24 Jun 2021

Klinik, makmal swasta kenakan caj tinggi ujian saringan COVID-19

KUALA LUMPUR: Ada klinik dan makmal swasta sekitar Lembah Klang, dikesan mengenakan caj yang tinggi untuk saringan COVID-19 menerusi ujian persampelan air liur atau 'deep throat saliva'.

Tinjauan BH di beberapa klinik dan makmal swasta mendapati caj dikenakan juga tidak seragam bagi proses sama. Ada yang mengenakan caj RM150, manakala yang lain RM200, RM230 dan paling tinggi RM250.

Untuk menarik pelanggan, ada klinik menawarkan promosi potongan harga, selain mengenakan caj berbeza dengan pelanggan secara 'walk in' lebih mahal berbanding yang membuat janji temu.

Mereka juga mendakwa sudah memperoleh kebenaran Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tujuan itu.

"Kami tidak berani buat demi kian jika tidak mendapatkan kelulusan KKM," kata seorang staf klinik swasta di Puchong.

Mengikut Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 di bawah tajuk 'Permintaan Bagi Penggunaan Sumber (Seksyen 4)', fi maksimum bagi ujian tindak balas berantai polimerase (RT-PCR) adalah RM150 di Semenanjung Malaysia, manakala RM200 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.

Dokumen sama turut menyenaraikan fi maksimum bagi kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) di Semenanjung Malaysia adalah RM60, manakala RM80 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Fi maksimum bagi kit ujian pantas antibodi (RTK-Ab) pula berharga RM50 di Semenanjung Malaysia dan RM70 bagi kawasan Sabah, Sarawak dan Labuan.

Dokumen itu menyatakan penggunaan sumber berkenaan bagi menangani jangkitan wabak penyakit berjangkit coronavirus COVID-19 dan berkuat kuasa 17 Mei lalu sehingga 1 Ogos depan atau apa-apa tempoh lain, seperti dimahsyurkan Yang di-Pertuan Agong.

Tinjauan BH juga mendapati ada klinik mendakwa, ketepatan keputusan saringan COVID-19 adalah 99.9 peratus bagi ujian persampelan air liur jika menggunakan kaedah RT-PCR, tetapi perlu menunggu lima hingga sepuluh jam untuk keputusan.

Kebanyakan klinik dan makmal swasta juga menggunakan platform media sosial seperti Facebook untuk tujuan 'pengiklanan' atau hebahan mengenai perkhidmatan ujian persampelan air liur ditawarkan mereka.

Berdasarkan hantaran sebuah klinik swasta di Ampang menerusi Facebook, fasiliti mereka menyediakan perkhidmatan baharu menggunakan sampel air liur yang mana ujian terbabit lebih murah dan mudah dilakukan dengan caj bermula RM150.

Caj ujian COVID-19 dianggap tinggi dan seolah-olah tidak dikawal itu mengundang rasa kecewa Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, yang menganggap hospital, klinik dan makmal swasta mengaut keuntungan ketika krisis kesihatan.

Timbalan Presiden FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman. - NSTP/Mustaffa Kamal
Timbalan Presiden FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman. - 
NSTP/Mustaffa Kamal

Beliau meminta kerajaan mengawal harga barangan atau alat yang berkaitan dengan COVID-19 supaya tiada kenaikan mendadak sehingga membebankan rakyat.

"Kita bimbang kalau harga tak dikawal. Sepatutnya apa yang berkaitan dengan COVID-19 dimasukkan dalam Ordinan Darurat supaya ada kawalan harga.

"Selain klinik dan hospital swasta, kita bimbang ada juga makmal swasta kenakan harga tinggi. Harga yang tinggi ini membebankan rakyat khususnya golongan B40 atau individu yang diberhentikan kerja. Kita ada terima aduan pengguna mengenai kos yang tinggi di fasiliti swasta," katanya kepada BH.

Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) turut menyokong kerajaan menetapkan harga lantai dan siling terhadap semua jenis ujian pengesanan COVID-19.

Presiden MPS, Amrahi Buang, berkata kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu menguatkuasakan fi bagi semua jenis ujian pengesanan COVID-19 seperti ditetapkan dalam Ordinan Darurat demi kepentingan pengguna.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia, Dr Steven K W Chow, berkata bukan semua ujian persampelan air liur menggunakan teknik pengesanan RT-PCR.

Katanya, pengesanan melalui RT-PCR lebih mahal berbanding teknik pengesanan ujian rapid antigen dan lain-lain jenis ujian.

Tiada ulasan: