Selasa, 15 Jun 2021

Kes tikam, perselisihan faham berlaku di HTAR

 Oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS

Shamsul Amar Ramli

KLANG- Polis menerima dua laporan kes jenayah yang berlaku di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) pada minggu lalu, yang mana salah satunya menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kes pertama pada Rabu lalu, seorang lelaki berumur 37 tahun yang merupakan pesakit hospital itu telah menikam seorang pesakit lain di wad menempatkan pesakit Covid-19.

“Suspek yang dipercayai kurang waras telah mengambil sebilah pisau pemotong buah secara tiba-tiba telah menikam seorang pesakit lain di bahagian perut dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6.30 petang itu.

“Motif kejadian dipercayai suspek dalam keadaan waras dan telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut pada Jumaat lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Shamsul Amar, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan sengaja.

Dalam satu kes lagi, ia melibatkan kes seorang waris pesakit yang cuba menumbuk seorang doktor yang merawat ibunya pada 6 Jun lalu.

“Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.45 petang apabila suspek menolak dan cuba menumbuk mangsa di lobi HTAR setelah suspek mendakwa pihak hospital tidak memaklumkan keadaan sebenar ibunya.

“Sebelum itu, ibu mangsa merupakan pesakit biasa dan tidak mempunyai sebarang tanda sebagai pesakit Covid-19,” katanya.

Bagi kes ini, menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: