Jumaat, 4 Jun 2021

KDN umum tambah sekatan jalan di Kuala Lumpur, Selangor

Bernama

1,000 sekatan jalan raya akan diadakan setiap hari berbanding 930 sekatan sebelum ini.

Bilangan sekatan jalan raya (SJR) khususnya di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor akan ditambah berikutan jumlah kenderaaan di jalan raya masih banyak di sebalik penguatkuasaan sekatan pergerakan penuh, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Beliau menganggarkan hingga 1,000 sekatan akan diadakan setiap hari selepas ini berbanding 930 SJR dan operasi benteng ketika ini.

“Semalam beberapa kawasan yang saya lihat, masih banyak kenderaan menggunakan jalan raya maka saya telah berbincang dengan Ketua Polis Negara (Acryl Sani Abdullah Sani) untuk menambah lagi sekatan jalan raya di kawasan-kawasan tertentu, khususnya di dua negeri berkenaan (Kuala Lumpur dan Selangor).

“Selain itu, saya juga telah buat tinjauan di Pulau Pinang dan mendapati penggunaan kenderaan di sana juga masih tinggi di sesetengah kawasan,’’ katanya pada sidang media selepas membuat lawatan mengejut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sebuah pusat beli-belah hari ini.

Negara kini berada di bawah sekatan pergerakan penuh yang berkuat kuasa sejak 1 Jun lepas hingga 14 Jun ini dalam usaha kerajaan menangani peningkatan kes Covid-19 yang terlalu tinggi.

Mengenai pematuhan SOP di pusat beli-belah tersebut, beliau mahu pemantauan dipertingkat di pintu masuk premis bagi memastikan setiap SOP dipatuhi orang ramai.

“Seperti yang kita tahu, rakyat di negara ini sekiranya ada cuti iaitu pada Sabtu dan Ahad kebiasaannya mereka ini akan keluar rumah dan menjadikan pusat beli-belah seolah-olah tempat riadah.

“Saya hendak memaklumkan kepada rakyat semua, tolonglah duduk di rumah kecuali mereka benar-benar memerlukan untuk membeli barang (keperluan asas) tetapi kalau hendak buat pertemuan, saya minta pasukan pemantau ini memperketat penguatkuasaan,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah memohon maaf kepada orang ramai sekiranya ada kekerasan membabitkan pasukan pemantauan SOP memandangkan terdapat orang ramai yang masih degil melanggar SOP.

“Mereka (pasukan pemantau SOP) berbuat demikian untuk memastikan orang ramai mengikut SOP dengan betul,” katanya.

Tiada ulasan: