Rabu, 9 Jun 2021

Jururawat rugi RM94,000 ditipu macau scam

PORT DICKSON: Seorang jururawat mendakwa kerugian RM94,000 akibat ditipu macau scam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata wanita berusia 31 tahun itu membuat laporan polis pada 5 Jun lalu mendakwa ditipu sindiket menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Katanya, mangsa menerima panggilan daripada nombor talian mudah alih memperkenalkan diri daripada LHDN memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM38,600.90 atas syarikat yang didaftarkan atas nama mangsa.

"Mangsa kemudian menafikan perkara ini sebelum panggilan disambungkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan untuk tujuan membuat laporan polis secara dalam talian.," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Aidi Sham berkata, mangsa kononnya bercakap dengan pegawai polis berpangkat ACP dan diminta untuk memuat naik pautan aplikasi MyBNM.

"Dalam aplikasi itu, pengadu kemudian memasukkan butiran nama dan nombor kad pengenalan miliknya.

"Aplikasi ini dikatakan untuk tujuan keselamatan supaya wang di dalam akaun mangsa tidak ditolak untuk tunggakan cukai ini," katanya.

Bagaimanapun, katanya, apabila mangsa membuat semakan dengan pihak bank, wanita itu mendapati wang simpanan di dalam satu akaun miliknya sudah dipindahkan kepada beberapa akaun yang tidak dikenali dalam 11 transaksi dengan jumlah keseluruhan RM94,000.

Katanya, kes disiasat mengikut Sek 420 Kanun Keseksaan iaitu 'tipu' yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan: