Chamil Wariya
Seperti
orang lain, Datuk Chamil Wariya (dua dari kiri) tertanya-tanya bila
agaknya majlis makan tengah hari sambil bersosial bersama rakan-rakan
seperti dalam foto ini boleh diadakan semula? - Gambar voamedia
PARA
sahabat sering bertanya apakah yang saya lakukan semasa Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 penuh yang dikuatkuasakan oleh kerajaan
sejak awal bulan Jun 2021 dan disambung lagi dua minggu mulai 15 hingga
28 Jun.
Jawaban saya: Kita tidak boleh ke
mana. Terkurung di rumah – kecuali keluar untuk beriadah di kawasan
kejiranan di mana saya tinggal pada sebelah pagi atau petang atau keluar
membeli makanan atau urusan-urusan kecemasan lain yang dibenarkan oleh
PKP 3.0 Fasa Pertama dan Kedua.
Tempoh
duduk di rumah selama sebulan itu kini dikenali sebagai Fasa Pertama
Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan
Sri Mahiaddin Mohd Yassin pada petang 15 Jun.
Bersidai untuk ngobrol atau ngeteh dan ngopi di kedai makan masih dilarang sepanjang tempoh itu.
Moga
pada Fasa Kedua PPN bermula Julai 2021, kerajaan lebih bersikap
kemanusiaan dan bersedia menimbang untuk memberi kebenaran untuk makan
dan minum di restoran kegemaran kita.
Hal
ini kerana jika para wakil rakyat dibenarkan bersidang pada waktu yang
dekat ini membahaskan isu-isu besar negara menurut perspektif dan
kepentingan mereka, maka adalah juga logik untuk mengizinkan rakyat
biasa berkumpul dan berbicara mengenai isu-isu yang dekat dengan diri
mereka di restoran-restoran pilihan mereka.
Bagi
kebanyakan orang biasa, restoran-restoran yang sering dikunjungi untuk
bersama rakan dan kenalan dari masa ke masa mempunyai status yang sama
dengan Dewan Rakyat atau Dewan Negara bagi kalangan yang bergelar Yang
Berhormat (YB).
Di sanalah mereka
bertanya khabar secara bersemuka, berbahas dan berbincang, walaupun
tiada agenda teratur dan khusus disediakan.
Justeru
kerajaan atau lebih tepat lagi Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak
perlu menunggu “titah pandangan” Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja
Melayu yang lain untuk mengizinkan orang biasa bersidai di kedai makan
kegemaran masing-masing – asalkan mereka mematuhi SOP ketat PKP 3.0.
Hal
ini dikatakan demikian kerana mesej tersirat yang disampaikan oleh YDPA
sewaktu menitahkan supaya Dewan Rakyat dibuka secepat mungkin, juga
ditujukan kepada pembukaan untuk rakyat biasa bersidai di gerai-gerai,
restoran dan kafe.
Tempat-tempat itu adalah “dewan rakyat” bagi golongan bawahan.
Keistimewaan
boleh diberi kepada pengguna yang telah melengkapkan vaksinasi dua dos
vaksin COVID-19. Kalangan yang telah disuntik dos pertama juga boleh
dibenarkan.
Kalau yang sudah divaksinasi
terus dikurung, tiada apa-apa makna terhadap suntikan yang telah diberi
itu. Keadaannya sama seperti mereka tidak divaksinasi.
Sekurang-kurangnya jika dine in
dibenarkan orang biasa yang tertekan kerana berkurung di rumah boleh
singgah di mana-mana gerai atau restoran untuk pekena teh atau roti
canai atau nasi lemak.
Dengan kata lain
kita tidak perlu membungkus makanan atau minuman untuk dibawa pulang
terutama bagi mereka yang berjalan santai sewaktu beriadah pada waktu
pagi dan petang seperti yang kerap saya dan sahabat-sahabat lain
lakukan, antaranya termasuklah Datuk Yusof Haslam, pengarah filem
terkenal dan pemilik Skop Productions.
Terima kasih kepada MKN kerana membenarkan kegiatan riadah dilakukan dalam kawasan kejiranan di mana kita tinggal.
Selain
membenarkan orang biasa bersidai di “dewan rakyat” pilihan mereka,
pertimbangan serius hendaklah diberikan kepada pembukaan sektor ekonomi
yang dikategorikan sebagai “bukan keperluan” menurut perspektif MKN,
tetapi “perlu” bagi golongan pekerja yang dipotong gaji atau diberi cuti
tanpa gaji semasa perintah berkurung PKP 3.0 dikuatkuasakan.
MKN kena ingat bukan semua jenis pekerjaan sesuai untuk BDR. Bidang latihan adalah salah satu daripadanya.
Keberkesanan
latihan atau kursus tertentu yang memerlukan latihan praktikal di bilik
latihan, tidak sama sekiranya dilakukan secara atas talian.
Keadaannya samalah seperti orang belajar menembak tanpa pistol atau senapang.
Apa lagi kalau latihan itu membabitkan penggunaan alat-alat khusus untuk menajamkan kemahiran peserta.
Pengalaman
juga membuktikan bagi mereka yang bekerja dari rumah (BDR) pada waktu
PKP 3.0 ini memang mencabar kerana ada gangguan-gangguan lain
terutumanya bagi keluarga yang mempunyai anak-anak kecil.
Mereka,
anak-anak kecil menganggap ibu bapa yang BDR sebenarnya bercuti dan
perlu memberi perhatian terhadap keperluan dan kebajkan mereka di rumah.
Hasilnya,
ada kalanya tiada kerja yang dilakukan secara BDR. Masa dihabiskan
untuk melayan karenah anak-anak, atau suami atau isteri yang minta itu
dan ini.
Kesannya, produktiviti BDR ini
tidak sama dengan bekerja di pejabat. Banyak rujukan kerja sebenarnya
ada dalam fail yang tersimpan rapi di pejabat.
Tetapi nak buat macam mana. Keadaan memaksa kita akur dengan arahan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Moga
dengan meningkatnya kedatangan pelbagai jenama bekalan dos vaksin
COVID-19 yang bakal kita terima mulai bulan depan – khabarnya ada 16
juta dos akan sampai ke negara ini – lebih ramai rakyat yang telah
mendaftar akan menerima vaksinasi masing-masing.
Dengan itu, matlamat untuk mewujudkan imuniti berkelompok (herd immunity)
dalam mana 80 peratus penduduk Malaysia telah menerima suntikan vaksin
tersebut akan segera menjadi kenyataan sebelum penghujung tahun ini.
Atau malah lebih awal lagi.
Insya-Allah
menjelang waktu itu, kehidupan kita akan kembali normal. Kita boleh
beriadah di taman-taman awam yang masa PKP 3.0 ini ditutup oleh pihak
berkuasa.
Dewan Rakyat boleh bersidang
siang dan malam. Orang biasa pula boleh bersidai di gerai, kafe dan
restoran tanpa mengira waktu, di samping mengumpul pahala dengan
mengerjakan solat berjemaah, menghadiri majlis-majlis ilmu di
masjid-masjid dan surau.
Yang tidak kurang pentingnya kita boleh kembali bekerja di pejabat untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Tidaklah kita terseksa jiwa raga akibat terperuk di rumah untuk tempoh yang terlalu lama.
* Datuk Chamil Wariya merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan