Jumaat, 4 Jun 2021

Harimau Malaya kalah lagi

Oleh ROZAIDI ZULKIFLI

PETALING JAYA: Dua gol masing-masing menerusi Ali Mabkbout dan Fabio Lima membantu Emiriah Arab Bersatu (UAE) membenam Malaysia 4-0 dalam aksi kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Zabeel, Dubai, sebentar tadi.

Malah, hilang tumpuan menuju ke penghujung permainan menyebabkan Harimau Malaya dihukum dengan tiga gol dalam tempoh 10 minit terakhir, sekali gus memilih jalan penuh ranjau untuk meneruskan kemaraan ke pusingan seterusnya.

Kehadiran dua pemain naturalisasi baharu, Guilherme de Paula dan Liridon Krisniqi tidak banyak memberi impak, malah anak-anak buah Tan Cheng Hoe mempamer aksi jauh lebih buruk berbanding ketika tewas tipis 1-2 pada pertemuan pertama kedua-dua pasukan di Bukit Jalil, September 2019.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, UAE memulakan permainan dengan cukup bersemangat dan tenang mengawal bola.

Penguasaan bola itu menunjukkan perbezaan dari segi ranking UAE yang berada di kedudukan ke-73 dunia manakala Malaysia ke-153, jelas dapat dilihat di atas padang.

Serangan pertama yang dilancarkan UAE pada minit ketujuh hampir membuka tirai jaringan namun rembatan penyerang berbisa, Ali Mabkbout berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol Harimau Malaya, Farizal Marlias.

Kesabaran anak buah Bert van Marwijk mengawal bola, melakukan hantaran tepat dan bijak membuka ruang jelas menunjukkan perbezaan ketara tahap permainan kedua-dua pasukan yang menyaksikan pemain pasukan negara lebih banyak mengejar bola.

Asakan demi asakan dilakukan UAE akhirnya membuah hasil menerusi hantaran jauh pemain tengah, Abdullah Ramadan yang tepat ke kaki Ali dan mudah disudahkannya untuk membuka gol pertama tuan rumah pada minit ke-19.

Memasuki minit ke-29, skuad negara akhirnya mula menemui rentak permainan apabila dapat mengawal bola lebih lama, selain mula mengatur serangan namun gagal untuk mencari gol penyamaan.

Kemasukan Syafiq Ahmad pada babak kedua merubah permainan Malaysia menjadi lebih agresif dan memberi lebih tekanan kepada tuan rumah, namun jentera tengah negara masih gagal berfungsi seperti diharapkan.

Gawang skuad negara hampir dibolosi kali kedua namun ketangkasan Farizal berjaya menafikan percubaan deras Fabio Lima pada minit ke-63.

Tersentak dengan serangan itu, skuad negara kembali mengatur gerakan serangan dan hampir memperolehi gol penyamaan pada minit ke-70 namun percubaan Syafiq sedikit tersasar melewati tiang gol tuan rumah.

Begitupun, Farizal terus dipaksa bekerja keras menangkis percubaan bertali arus barisan serangan pasukan tuan rumah sehingga memaksa pemain negara berkampung di kawasan sendiri.

Usaha Fabio mencari gol akhirnya berhasil menerusi rembatan lencong pada minit ke-83 untuk gol kedua UAE.

Kelemahan barisan pertahanan negara sekali lagi dihukum Ali pada minit ke-89 sebelum Fabio menutup malam bergaya buat UAE menerusi jaringan keempat tuan rumah pada minit terakhir perlawanan. UTUSAN

Tiada ulasan: