Ahad, 6 Jun 2021

Guru sanggup tidak berkasut kerana dipinjamkan kepada pelajar

 Oleh KOSMO! Butler (kiri) hanya berstokin dan tidak berkasut kerana meminjamkan kasutnya kepada Peters (kanan) pada majlis graduasi sekolah. – John Butler/New York Post

BOUETTE, LOUISIANA – Seorang guru menunjukkan sifat murni apabila sanggup berkaki ayam kerana meminjamkan kasut miliknya kepada seorang pelajar bagi memastikan remaja tersebut dibenarkan menghadiri majlis graduasi sekolah, lapor akhbar New York Post semalam.

Pelajar tersebut, Daverius Peters tiba di sebuah pusat persidangan bagi menghadiri majlis graduasi sekolahnya. Bagaimanapun, dia dilarang memasuki dewan kerana tidak memenuhi kriteria etika berpakaian untuk majlis tersebut.

Mengikut peraturan Sekolah Tinggi Hahnville, seorang pelajar perlu memakai kasut berwarna gelap, sebaliknya Peters memakai kasut kulit berwarna hitam yang mempunyai tapak berwarna putih.

Susulan itu, guru tersebut, John Butler menawarkan untuk meminjamkan kasutnya bagi memastikan pelajar tersebut dapat naik ke pentas dan menerima diplomanya.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus membuka kasut.

“Saya berkata kepada Peters bahawa walau apa pun terjadi, dia tetap akan naik ke atas pentas.

“Dia tersenyum dan kelihatan hebat. Saya amat gembira melihatnya,” ujar Butler.

Sementara itu, Pengarah Maklumat, Awam Sekolah Tinggi Hahnville, Stevie Crovetto memberitahu stesen televisyen Fox bahawa pihak sekolah akan menilai semula polisi kod etika berpakaiannya.

“Apabila kami berpeluang untuk menambah baik polisi, prosedur, peraturan atau amalan sekolah, kami akan melakukannya dan akan menilai semula kod etika berpakaian majlis graduasi.

“Kami amat menghargai usaha untuk mengetengahkan hal ini. Justeru, pihak sekolah akan terus berusaha untuk melaksanakan amalan yang lebih baik,” katanya. – AGENSI 

Tiada ulasan: