Khamis, 10 Jun 2021

Empat kawasan Felda kena PKPD serentak

Oleh AMREE AHMAD
ISMAIL SABRI YAAKOB

PUTRAJAYA: Sebanyak empat kawasan Felda di dua negeri antara 10 lokaliti bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara serentak bermula Jumaat ini sehingga 24 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara yang terlibat ialah Felda Inas di Daerah Kulai, Johor apabila menyaksikan 43 kes positif direkodkan dengan peningkatan ketara selain Felda Tembagau 1 dan Felda Tembangau 3 di Daerah Bera serta Felda Jengka 7, Daerah Maran.

Beliau berkata, tiga lagi lokaliti di Sabah juga dikenakan PKPD iaitu dua di Bahagian Kudat melibatkan Kampung Singgahmata, Pulau Banggi dan Kampung Sin San termasuk kawasan perumahan kilang minyak kelapa sawit di Ladang Ong Yah Hoo, Daerah Kinabatangan.

“Dua lokaliti yang berbeza di Jajahan Tumpat, Kelantan pula turut dilaksanakan perintah berkenaan serentak iaitu Kampung Kutan Tengah dan Kampung Ketil.

“Di Sarawak, hanya satu lokaliti yang akan dikenakan PKPD iaitu Kampung Sinar Budi Baru, Bahagian Kuching setelah dilaporkan ada 18 kes positif wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, PKPD membabitkan Felda Tersang 1, 2 dan 3 di Daerah Raub, Pahang yang sepatutnya berakhir esok, namun dilanjutkan lagi selama 14 hari hingga 24 Jun depan.

Bagaimanapun, lapan lokaliti berbeza di negara ini ditamatkan PKPD masing-masing pada esok dengan Pekan Kemayan, Daerah Bera, Pahang yang akan berakhir sehari lebih awal.

Manakala lokaliti lain ditamatkan seperti dijadualkan antaranya di Pahang meliputi Taman Dato’ Tengku Faris, Daerah Raub serta Mukim Perak dan Mukim Bangau, Daerah Temerloh.

Di Sabah kata Ismail Sabri, PKPD juga akan berakhir pada esok di Taman Sawit Balung, Bahagian Tawau dan Kampung Pirasan Ulu, Daerah Kota Belud, Bahagian Pantai Barat.

“Sementara di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, PKPD akan tamat di Pangsapuri Permai, Sungai Besi serta Blok C dan D, Pangsapuri Sri Penara, Bandar Tun Razak,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan: