Jumaat, 11 Jun 2021

Dua nelayan mati lemas dalam kejadian bot karam dipukul ribut

Oleh WAT KAMAL ABAS
MAYAT nelayan yang ditemukan setelah lemas dalam kejadian bot karam dipukul ribut di perairan Kuala Kurau dan Tanjung Piandang, Perak, hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS

PARIT BUNTAR: Dua nelayan ditemukan mati lemas selepas tiga buah bot karam akibat dipukul ribut dalam kejadian berasingan di perairan Kuala Kurau dan Tanjung Piandang, dekat sini hari ini.

Mayat mangsa pertama, Yeap Bee Hin, 65, ditemukan pada pukul 3.30 petang manakala seorang lagi mangsa, Tan Eng Thang, 59, dijumpai pada pukul 6.05 petang.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Mohd. Sharenliza Ghazali berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian dua nelayan yang hilang itu masing-masing pada pukul 11.30 pagi dan 12 tengah hari.

Katanya, berikutan itu, pihaknya menggerakkan operasi mencari dan menyelamat mangsa melibatkan Maritim Malaysia, Jabatan Perikanan, Polis Marin dan dibantu nelayan.

“Mayat mangsa pertama, Yeap Bee Hin ditemukan terapung oleh nelayan yang membantu operasi pencarian pada kira-kira pukul 3.30 petang di perairan Sungai Baru, Tanjung Piandang.

“Mayat mangsa kedua, Tan Eng Thang pula ditemukan pada pukul 6.05 petang berhampiran lokasi bot yang tenggelam kira-kira 0.5 batu nautika dari Kampung Parit 30 di Kuala Kurau.

“Mayat Eng Thang terapung setelah nelayan menarik naik bot yang tenggelam,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke jeti Pengkalan Polis Marin Kuala Kurau dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Bilik gerakan mencari dan menyelamat mangsa ditutup pada pukul 6.40 petang setelah kedua-dua mangsa ditemukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: