Jumaat, 18 Jun 2021

Dron Israel ditembak jatuh di Gaza

Oleh WARTAWAN LUAR NEGARA

GAZA: Pejuang Palestin berjaya menembak jatuh dron yang dilancarkan tentera Israel di kawasan barat Semenanjung Gaza, malam tadi.

Dron jenis quadcopter itu berjaya dirampas selepas tentera Israel melancarkan beberapa siri serangan udara di kawasan sasaran di sini.

Jet pejuang Zionis Israel melancarkan serangan udara kedua ke Beit Lahia di bahagian utara Semenanjung Gaza, namun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan apabila semua sasaran kosong.

Serangan udara turut menyasarkan kawasan pertanian yang tidak dihuni oleh penduduk di kem Jabalia.

Sebelum serangan itu, tentera Israel turut menyerang Khan Younis di Gaza semasa perarakan bendera di Tebing Barat.

Susulan serangan itu, Jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum berkata, siri pengeboman yang dilancarkan itu sebagai satu bentuk demonstrasi oleh kerajaan baharu Israel yang dipimpin oleh Naftali Bennett.

“Kami akan terus mempertahankan rakyat, penduduk serta kawasan suci ini,” tegasnya. -AGENSI

Tiada ulasan: