Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Mohd Redzuan Md Yusof mendakwa dia tidak lagi diundang ke mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Bercakap kepada Malaysiakini, anggota parlimen Bersatu itu juga mempersoalkan cara kerajaan menangani wabak Covid-19, terutama berkaitan dengan program vaksinasi.
"Kini saya bukan anggota MKN. Dahulunya anggota MKN. Saya tak tahu apa yang berlaku. Kali terakhir saya bersama MKN adalah sebelum Hari Raya (Aidilfitri)," katanya.
Menurut Redzuan, dia sepatutnya hadir dalam MKN sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas Badan Pengurusan Bencana Nasional (Nadma).
Sambil mengakui bahawa adalah menjadi hak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memutuskan siapa yang harus terlibat dalam proses membuat keputusan, namun anggota parlimen Alor Gajah itu berkata dia berasa kecewa.
"Kalau tengok susunan gazet tu sendiri ya, saya yang sepatutnya mengawasi.
"Tapi itu terpulang kuasa PM. Kalau nak menguruskan bencana ada cara-cara tertentu atas kebolehan seseorang
"Tapi kalau PM tak nampak Nadma menguruskan becana, kenapa letakkan di bawah tugas-tugas khas"' soalnya.
Mengenai spekulasi tentang pemecatannya, Redzuan berkata hal itu disebabkan oleh kepemimpinan yang tidak mahu "terlalu ramai orang melakukan perkara yang sama" dan dia dianggap masih baru dalam politik berbanding menteri lain.
"Kadang-kadang tu orang nampak kita ni seorang yang baru dalam politik.
"Jadi ukuran kebolehan tu orang yang baru dalam politik. Itu pendapat sayalah," katanya.
"Saya tak pernah jadi menteri selain bawah PH (Pakatan Harapan) untuk bangunkan usahawan.
"Menteri yang lain telah lama dalam politik. Mereka memberi kebolehan yang lebih. Itu terpulang kepada PM untuk membuat analisa, untuk memberi tugas-tugas kepada menteri sedia ada atau menteri yang banyak pengalaman, yang telah lama dalam politik," katanya.
Malaysiakini telah menghubungi Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob yang mengawasi MKN untuk mendapatkan komen.
Ketika berita ini ditulis, Ismail berkata Malaysiakini harus menghubungi MKN sendiri.
Bagaimanapun, pemimpin tertinggi MKN tidak menjawab pertanyaan berhubung perkara itu.
Mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Redzuan berpendapat banyak lagi perkara perlu dilakukan.
Dia mempersoalkan keputusan untuk menerima vaksin tertentu tetapi bukan vaksin lain yang telah mendapat persetujuan daripada negara asal dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
"Di Malaysia kita ada akta semua barang-barang perubatan, nak masuk je kena kelulusan NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara). Kalau tak ada, kena rampas.
"Tapi apa pun, dalam darurat, general perang sepatutnya menggunakan kuasanya untuk overrule NPRA.
"Contoh kalau dunia boleh menerima penggunaan vaksin menerusi EUL (Senarai Kegunaan Darurat) dari negara asalnya dan WHO, kita harus menggunakannya untuk mendapatkan bekalan vaksin yang lebih beragam.
"Kita tidak boleh hanya bergantung pada Covax dan NPRA untuk meluluskannya. Contoh hari ini ada vaksin lain seperti Sputnik V dan Sinopharm," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan