Ahad, 6 Jun 2021

Berpesta sambut hari jadi di pusat hiburan, 21 ditahan

Seramai 21 individu termasuk pemilik sebuah pusat hiburan diberkas dalam 
operasi malam tadi.

KOTA KINABALU: Polis menahan 21 individu termasuk tujuh wanita yang menyambut hari jadi dengan berpesta di sebuah pusat hiburan di Kompleks Asia City, malam tadi.

Semua individu termasuk tujuh wanita terbabit ditahan kira-kira jam 10 malam dalam Operasi Khas Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan pasukan polis dari cawangan jenayah, narkotik dan jenayah pemerdagangan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah, Mohd Zaidi Abdullah berkata, ketika serbuan, semua suspek sedang leka berhibur di sebuah bilik dengan bunyi muzik yang kuat.

“Mereka berhibur di salah satu bilik di pusat hiburan ini dan polis ada sedikit halangan untuk masuk kerana mereka telah mengunci pintu dari dalam dan ada CCTV (kamera litar tertutup).

“Bagaimanapun, kita berjaya memecah pintu dan masuk seterusnya menahan mereka. Hasil pemeriksaan kita dapati seramai 21 individu iaitu 14 lelaki dan tujuh wanita sedang berhibur di satu bilik di tingkat empat,” katanya ketika ditemui, semalam.

Mohd Zaidi berkata, mereka yang berusia 21 hingga 35 tahun termasuk pemilik premis berkenaan turut dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0.

“Tindakan kompaun RM10,000 dikenakan terhadap pemilik premis kerana melanggar SOP dengan beroperasi dalam tempoh PKP manakala 17 lagi dikompaun RM1,500 setiap seorang kerana melanggar SOP iaitu berada di tempat hiburan dalam tempoh PKP.

“Sementara itu, tiga lagi warganegara asing ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin boleh menyebabkan jangkitan penyakit merbahaya kepada awam,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing juga mendapati empat lelaki dan empat wanita positif dadah dan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

“Siasatan juga mendapati semua mereka sedang merayakan sambutan hari jadi salah seorang rakan mereka.

“Pemeriksaan lanjut mendapati lesen pusat hiburan berkenaan juga telah tamat tempoh sejak 2018 lagi,” katanya.

Tiada ulasan: