Khamis, 3 Jun 2021

Beroperasi lebih masa, penyelia kilang dikompaun RM10,000

fazleensafina

Lapan pekerja lain turut dikompaun RM2,000 setiap seorang

PETALING JAYA – Seorang penyelia sebuah kilang di Taman Medan, di sini dikompaun sebanyak RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan beroperasi melebihi masa ditetapkan,

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, serbuan pada kira-kira jam 10.45 malam itu mendapati, penyelia berkenaan adalah seorang wanita tempatan berusia 41 tahun.

“Dia didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 17(2) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya turut mengenakan kompaun sebanyak RM2,000 setiap seorang kepada lapan pekerja kilang terbabit, yang terdiri daripada tujuh wanita dan seorang lelaki tempatan berusia antara 18 hingga 69 tahun mengikut Pertaturan 17 (1) peraturan sama.

Justeru, beliau mengingatkan kepada semua sektor perindustrian yang telah dibenarkan beroperasi untuk mematuhi garis panduan ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang tempoh PKP 3.0.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas pemilik kilang yang ingkar,” katanya.

Tiada ulasan: